Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Kumpulan Syababul Iman, Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, petang tadi, telah menganjurkan Forum Bicara An-Nisa Siri ke-4 yang membawa tema ‘Muslimah & Tabarruj; Beauty in Modesty’.
Ahli-ahli panel bagi forum yang diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali itu terdiri daripada Da’ie tetap Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Siti Noraziah binti Haji Asli dan Da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dr. Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman.
Manakala itu, pengerusi bagi sesi forum itu ialah Dayang Siti Hurul Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vienna.
Dayang Siti Noraziah semasa forum itu menyentuh mengenai aurat seorang Muslimah yang mana seseorang itu haruslah menutup auratnya terkecuali muka dan tangan bagi aurat wanita.
Wanita Muslimah diseru untuk menutup aurat dengan sempurna untuk mengelakkan daripada berlakunya fitnah dan menjauhi daripada zina.

Menutup aurat, jelasnya lagi, adalah untuk mendapatkan keredaan daripada Allah S.W.T dan bukan untuk mendapat keredaan manusia kerana dengan pemakaian yang sopan santun, ia bukan sahaja elok dipandang dan selesa malah ia adalah terhindar daripada fitnah.
Beliau menyeru agar para wanita dapat membiasakan diri untuk memakai pakaian yang tidak ketat dan tidak nipis.
Forum berkenaan dihasratkan untuk menjaga martabat seorang Muslimah daripada mendedahkan kecantikan rupa paras, sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau pada anggota badan.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menerangkan secara lebih lanjut pengertian tabarruj dalam Islam di samping membincangkan adab-adab berhias secara syarie bagi seorang Muslimah.