TV pertama guna Harmonyos

DONGGUAN, 11 OGOS – Syarikat gergasi telekom China, Huawei, yang terjerumus dengan perbalahan antara perang perdagangan antara Washington dan Beijing, mendedahkan sebuah televisyen pintar baharu, produk pertama yang menggunakan sistem operasinya sendiri.

Televisyen itu yang boleh diperolehi Khamis depan di China dan menandakan penggunaan pertama HarmonyOS, jelas ketua eksekutif George Zhao, dengan menambah bahawa ia akan dipasarkan oleh jenama Honor.

Huawei mula mendedahkan HarmonyOS pada Jumaat lalu sebagai sistem operasi alternatif bagi telefon dan peranti pintar lain ketika sekatan-sekatan AS mencegah firma itu daripada menggunakan teknologi Android.

Syarikat-syarikat Amerika juga tidak lagi dibenarkan menjual produk-produk teknologinya kepada Huawei, selepas satu tempoh pengecualian selama tiga bulan akan berakhir minggu depan, yang telah diberikan oleh Washington sebelum tindakan pengharaman berkuatkuasa.

Pengharaman tersebut akan menghalang gergasi teknologi itu daripada mendapatkan beberapa perisian dan perkakasan penting, termasuk cip telefon pintar dan elemen-elemen bagi sistem operasi Google Android, yang digunakan oleh sebahagian besar telefon pintar di seluruh dunia, termasuk Huawei.

Huawei, yang dianggap sebagai pendahulu dunia dalam kelengkapan 5G dan pengeluar telefon pintar nombor dua dunia, telah disenaraihitam oleh Presiden AS, Donald Trump di tengah-tengah keraguan ia mungkin memberikan maklumat kepada perkhidmatan perisikan China, yang dinafikan oleh firma itu. – AFP

Presiden Honor, George Zhao, ketika mendedahkan televisyen pintar yang menggunakan sistem operasi HarmonyOS, yang dimajukan oleh Huawei. – AFP