TV terbaharu Philips dilancarkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Intracorp (B) Sdn Bhd, pengedar unggul peralatan domestik kecil Philips di Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan siri televisyen LED Philips 7300 4K yang dilancarkan dalam majlis yang berlangsung di cawangan Mega Intracorp (B) Sdn Bhd, Gadong, hari ini.

Televisyen Philips terbaharu dilengkapi Ambilight itu bukan sahaja memberikan pengalaman menonton televisyen yang menarik bagi para penonton tetapi ia juga mengetengahkan pelbagai rekaan produk istimewa, ciri-ciri interaksi pintar dan TV pintar serta kualiti gambar terbaik bagi pengalaman luar biasa.

Pada majlis berkenaan, Pengurus Besar Intracorp Brunei, Vincent Tan dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa TV Philips yang memasuki pasaran Brunei pada tahun ini menunjukkan jualan yang sungguh menggalakkan dalam pasaran pengguna elektronik yang mencabar.

Beliau berkata para pengguna ingin mendapatkan produk nilai untuk wang mereka dan beliau yakin bahawa Philips menawarkan produk yang sesuai bagi mereka iaitu mengetengahkan fungsi dan kualiti premium dengan harga yang berpatutan. Oleh itu, pihaknya akan menawarkan lebih banyak produk dalam barisan produk Philips pada hujung tahun nanti khusus bagi Karnival Philips.

Pada majlis berkenaan, pelancaran Sudut Televisyen LED Philips disempurnakan bersama oleh Vincent Tan, wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taiwan, Andrew H.C. Lee, wakil dari Suruhanjaya Tinggi Singapura di Negara Brunei Darussalam, Novene Li dan Pengurus Besar Negara (Jualan) TP Vision Singapura, Evelyn Koh.

Vincent Tan, Andrew Lee, Novene Li dan Evelyn Koh semasa melancarkan TV LED Philips 7300 4K.
Televisyen yang diketengahkan di Sudut Televisyen LED Philips di Intracorp Megastore.