TVET, IR4 mesti sepadan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Negara Brunei Darussalam sama seperti negara-negara lain di rantau ini, memberikan penekanan kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam usaha meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan memenuhi keperluan kemahiran negara.

Namun menjelang Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4) sistem TVET ini mestilah sepadan dengan perubahan pesat yang berlaku di tempat kerja kerana ekonomi baharu memerlukan pekerja untuk memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai teknologi seperti pengkomputeran awan, analitik data besar, robotik, automasi serta Internet Benda (IoT) bagi melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Kepentingan TVET dalam IR4 itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika berucap pada Forum Perniagaan Pendidikan UK, Training Gateway Trade Mission 2019 bertemakan Pembangunan Profesional Berterusan anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam dan Training Gateway dengan sokongan Kementerian Pendidikan di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, memandangkan peranan penting TVET dalam penyediaan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh industri, terdapat tumpuan meningkat ke atas pembangunan kemahiran bukan sahaja menyediakan belia bagi pasaran buruh, tetapi bagi mereka yang berada di pasaran buruh.

Forum Ekonomi Dunia meramalkan bahawa 35 peratus kemahiran teras akan berubah dalam lima tahun akan datang dengan tahap intensiti yang berlainan di seluruh sektor, tambahnya. Beliau juga menegaskan bahawa kunci untuk bertahan dalam Revolusi Perindustrian ke-4 adalah keupayaan untuk menjadi pelajar seumur hidup atau sebaliknya menjadi tenaga kerja yang tidak relevan.

“Sistem TVET perlu mengadaptasi dan berinovasi secara berterusan memandangkan transformasi perindustrian dan digital bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi tetapi cara orang hidup, bekerja dan belajar,” jelas beliau.

Forum turut diisikan dengan ucapan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, TYT Richard Lindsay, perbincangan bertajuk The Future of Work oleh perwakilan dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Pearson Asia.

Selain itu, pameran dari syarikat-syarikat seperti Aspire Consulting, Pearson dan Training Gateway dan sesi perjumpaan dan rangkaian Business to Business antara syarikat-syarikat tempatan dan UK turut diadakan.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menyampaikan ucapan.
Perbincangan panel bertajuk ‘The Future of Work’ telah diadakan semasa forum tersebut.