Twitter bayar AS$809 juta selesai saman

NEW YORK, 21 SEPT – Twitter mengumumkan akan membayar AS$809 juta bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah yang difailkan pada 2016.

Antara dakwaan yang dibuat ialah anggota kepemimpinan rangkaian sosial itu termasuk pengasasnya, Jack Dorsey, memberikan maklumat mengelirukan kepada pelabur mengenai pertumbuhan pengguna yang perlahan.

Saman yang difailkan oleh pemegang saham mendakwa defendan seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dick Costolo, tidak mendedahkan gambaran lengkap keadaan syarikat itu ketika menjual saham Twitter mereka.

“Penyelesaian yang disyorkan melunaskan semua tuntutan terhadap Twitter dan defendan lain tanpa pengakuan, mengalah atau kesalahan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Twitter berkata perjanjian penyelesaian akhir akan bergantung kepada kelulusan mahkamah dan syarikat itu berhasrat membuat bayaran tunai pada akhir tahun ini.

Pemegang saham mendakwa ahli lembaga menjual saham pada harga ‘yang sengaja dinaikkan’ dalam tuntutan Mahkamah Persekutuan yang difailkan pada 2016, setahun selepas saham Twitter merudum, menunjukkan pertumbuhan syarikat yang lesu. Secara keseluruhan, menurut sepina pada November 2016, eksekutif menjual saham bernilai AS$281 juta sebelum Twitter mengemas kini prospek perniagaannya.

Bagaimanapun, Dorsey menjual saham bernilai AS$3.6 juta manakala pengasas bersama, Evan Williams, menjual pada nilai AS$274 juta. – AFP

Gambar fail menunjukkan tanda log masuk di skrin untuk akaun Twitter di komputer riba di Orlando, Florida. Twitter berkata ia akan membayar AS$809 juta dalam penyelesaian tindakan guaman yang difailkan pada 2016. – AP