Twitter padam akaun sebar berita palsu

SAN FRANCISCO, 2 MAC – Twitter semalam memberitahu akan mula melabel tweet mengenai vaksin COVID-19 dan menamatkan akaun pengguna yang terus menyebarkan maklumat palsu mengenainya.

Perkhidmatan mesej dari satu individu kepada ramai pengguna akan dilengkapi sistem penyaringan yang secara beransur akan meningkatkan sekatan secara kekal selepas lima tweet dengan kandungan menyinggung.

“Pihak kami percaya sistem penyaringan ini membantu mendidik orang awam mengenai dasar Twitter, sekali gus mengurangkan maklumat yang boleh mendatangkan kemudaratan dan mengelirukan.

“Ia khususnya bagi pelanggaran peraturan pada tahap sederhana dan tinggi yang berulang-ulang,” kata syarikat berpangkalan di San Francisco itu dalam catatan di blognya.

Melalui sistem itu, pengguna Twitter akan dimaklumkan apabila tweet mereka dilabelkan sebagai mengelirukan atau perlu dibuang kerana melanggar peraturan platform atau menyebabkan saringan.

Bagi tweet sama kali kedua dan ketiga, akaun pengguna akan disekat dalam tempoh 12 jam, manakala pelanggaran kali keempat pula akan digantung dalam tempoh tujuh hari.

Sekiranya berlanjutan bagi kesalahan kelima, akaun pengguna akan digantung secara kekal.

Pada hujung tahun lalu, Twitter menggesa penggunanya memadamkan semua tweet berkaitan COVID-19 yang mengelirukan, termasuk cadangan menyatakan vaksin digunakan ketika ini adalah berbahaya atau bertujuan untuk mengawal manusia.

Twitter juga sudah memadamkan lebih 8,400 tweet dan memaklumkan sekitar 11.5 juta akaun di seluruh dunia mengenai pelanggaran terhadap peraturan maklumat berkaitan COVID-19. – AFP

Gambar fail menunjukkan aplikasi Twitter di telefon pintar di Philedelphia. Twitter berkata ia mula melabel tweet mengenai vaksin COVID-19 dan menamatkan akaun pengguna yang menyebarkan maklumat palsu mengenainya. – AP