SAN FRANCISCO, 10 JULAI – Selepas menunjukkan minat mendalam untuk membeli Twitter dan seterusnya membatalkan hasrat tersebut, Twitter kini berada dalam kedudukan kukuh untuk memenangi tindakan mahkamah dengan usahawan tersebut dijangka dikenakan bayaran pembatalan bernilai lebih AS$1 bilion tetapi syarikat berkenaan mungkin terjejas dalam proses itu.
Masalah yang berlarutan itu telah membingungkan pemerhati dalam apa yang digambarkan oleh pakar analisis Wedbush, Dan Ives sebagai salah satu kisah perniagaan yang paling tidak masuk akal.
Musk, pengasas syarikat kereta elektrik, Tesla, menghantar surat kepada Twitter pada Jumaat lalu mengatakan dia membatalkan perjanjian kontroversi untuk membeli platform media sosial itu pada April lalu dengan harga AS$54.20 sesaham, atau AS$44 bilion pada keseluruhannya.
Namun perjanjian gabungan tersebut bertujuan mengelak pembeli daripada hilang keyakinan dan memutuskan untuk membatalkan pembelian,” jelas profesor undang-undang di Universiti Tulane, Ann Lipton, seorang pakar dalam guaman korporat.
Selain itu, Musk, yang juga pemilik SpaceX, mendakwa syarikat sosial media gergasi memberikan maklumat yang tidak benar dan mengelirukan mengenai jumlah akaun palsu dalam platform syarikat tersebut.
Sementara itu, peguamnya juga menekankan isu terkini mengenai pemecatan pekerja Twitter serta pembekuan pengambilan pekerja, yang dikatakan mereka bercanggahan dengan undang-undang syarikat untuk meneruskan operasi secara normal.
Hujah-hujah tersebut mungkin sahih, tetapi tidak mewajarkan mereka untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut, kata Lipton.
“Ia tidak mencukupi, melainkan dia menunjukkan akaun palsu itu bukan sahaja palsu tetapi juga mempertikaikan dasar perjanjian tersebut,” jelasnya. – AFP