Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Twitter umum pendekatan baharu

    SAN FRANCISCO, 27 Jun – Twitter berkata semalam ia akan mula meminta alamat e-mel atau nombor telefon untuk mengesahkan akaun baharu sebagai sebahagian daripada usaha memerangi manipulasi, terutamanya oleh bot automatik.

    Menambah cara untuk memeriksa bahawa orang sebenar yang berada di sebalik akaun baharu digambarkan oleh Twitter sebagai antara salah satu langkah untuk memerangi penyalahgunaan, penyebaran dan isi kandungan bersifat benci.

    “Ia merupakan perubahan yang penting untuk mempertahankan individu yang cuba mengambil kesempatan ke atas sikap terbuka kami,” kata eksekutif Twitter Del Harvey dan Yoel Roth dalam blog.

    Syarat-syarat akan diumumkan pada akhir tahun ini, dan Twitter berjanji akan memastikan perubahan tidak menjejas pengguna di tempat ‘berisiko tinggi’.

    Twitter baru-baru ini mula mengambil lebih banyak langkah untuk membersihkan aktiviti spam dan automatik dan “menutup kelemahan yang telah dieksploitasi oleh mereka,” menurut Harvey dan Roth.

    “Kami juga sedang melakukan beberapa proses secara automatik yang kami percaya merupakan aktiviti akaun yang meragukan, seperti tweet yang amat banyak dengan hashtag yang sama atau menggunakan @kendali tanpa jawapan yang sama daripada akaun yang anda sebut,” kata mereka.

    Sistem Twitter mengenalpasti dan mencabar lebih daripada 9.9 juta ‘akaun spam atau automatik’ setiap minggu pada Mei, menurut Harvey dan Roth.

    Twitter pada bulan lalu berkata ia sedang mempertingkatkan kempen lamanya yang menentang pos yang bersifat provokatif di Internet, cuba mencari pesalah dengan melihat pada ‘isyarat tingkah laku.’

    Pendekatan baharu melihat pada pola tingkah laku pengguna di samping isi kandungan tweet, membenarkan Twitter mencari dan menutup mulut pembuli dan penulis pos yang bersifat provokatif di internet.

    Walaupun jika tweet yang bersifat menyinggung perasaan itu tidak melanggar dasar Twitter, mereka mungkin tersembunyi daripada pengguna sekiranya mereka dianggap ‘memutar belit’ perbualan, kata Twitter.

    Twitter telahpun menggunakan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dalam usaha ini tetapi inisiatif terbaharu bertujuan melakukan lebih banyak dengan menumpu pada tindakan pengguna tertentu selain daripada isi kandungan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda