Tya Ariffin tepis dakwaan abai anak

Pelakon dan penyanyi Tya Ariffin, menepis dakwaan warganet meninggalkan dua orang anaknya menangis di lantai halaman rumah untuk mengejar urusan dunia.

Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin berkata, disebabkan itu jugalah dia terpaksa menolak tepi karier seni demi misi membantu lebih ramai untuk meraih pendapatan menerusi perniagaan diusahakan.

“Saya bukan sengaja meninggalkan dua orang anak di rumah, sebaliknya perlu keluar bagi melunaskan komitmen kerja. Hati mana yang sanggup melihat anak-anak menangis mahu ikut ibu bapa mereka.

“Sukar untuk saya jelaskan situasi ini, namun apa yang pasti ibu bapa yang turut berdepan dengan perkara yang sama memahaminya. Mujur juga saya tidak perlu membiarkan mereka lama-lama di rumah.

“Sejak saya usahakan produk sendiri iaitu Mutyara, kini ramai yang berjaya saya bantu terutama golongan wanita untuk memiliki sumber pendapatan. Baik suri rumah, ibu tunggal, dibuang kerja, atau wanita berkerjaya lain yang perlu pendapatan sampingan.

Tya Ariffin menepis dakwaan warganet meninggalkan dua orang anaknya menangis di lantai halaman rumah untuk mengejar urusan dunia. – Agensi

“Disebabkan itu, saya memang kena ketepikan seketika kerjaya lakonan kerana mahu terus mengejar misi membantu lebih ramai orang. Sasaran saya pada tahun hadapan adalah dapat membantu lebih 100,000 rakyat Malaysia pula,” katanya.

Perkongsian Tya menerusi aplikasi Tik Tok mengundang reaksi banyak pihak, ada antara warga maya yang menyoalkan tindakan pasangan suami isteri itu kerana meninggalkan dua orang anak mereka demi mencari rezeki.

Tya dan Asyraf berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 5, dan Azzahra Jiwa, 3.

Bagaimanapun kata Tya, dia bersyukur kerana suami sering memberikan semangat dan motivasi serta menyokong segala tindak-tanduknya.

“Menjadi usahawan juga sebenarnya membuatkan saya kembali jumpa tujuan hidup. Kalau dulu, saya berlakon demi mencari wang untuk ibu bapa saya dan sejak berkahwin, saya tertanya apa lagi tujuan hidup perlu dikejar.

“Tujuan utama saya menjadi usahawan adalah untuk membina perniagaan jangka masa panjang. Misi utamanya adalah untuk membantu orang ramai mengecap impian bersama dan berjaya dalam perniagaan di www.berniagabersamatya.com secara percuma,” ujarnya. – Agensi