Tya suntik inspirasi melalui bual bicara dalam talian

Pelakon dan penyanyi yang kini bergelar usahawan, Tya Ariffin kini dikenali ramai menerusi program bual bicara dalam talian, Bersama Tya apabila mula bersiaran secara langsung di ‘Instagram Live’ sejak 14 Jun lalu.

Ketika pandemik COVID-19 yang sudah lebih setahun melanda dunia, Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin, 27, komited untuk berkongsi hal positif dan suntikan inspirasi menerusi program berkenaan.

“Dalam membiasakan norma baharu sekalipun berdepan kekangan tertentu di era pandemik ini, kenapa tidak saya manfaatkan platform media sosial seperti Instagram hingga ke YouTube.

“Sebenarnya, dulu di negara kelahiran sendiri, Indonesia, saya pernah juga jadi penyampai radio. Cuma tak sempat berjinak jinak jadi pengacara,” katanya dalam sebuah kenyataan kepada media.

Menurut Tya, dia pernah menjadi penyampai radio namun tidak berkesempatan untuk menjadi pengacara. Dengan peluang yang ada terutamanya membiasakan dengan norma baharu ini, Tya berjaya melakukannya biarpun segalanya dilakukan sendiri.

Menariknya lagi, Tya turut mendedahkan pembantu rumahnya menjadi ‘krew’ bagi membantunya melancarkan siaran langsung tersebut.

Untuk rekod, setakat ini program tersebut sudah bersiaran lebih dari 30 episod yang kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya.– Agensi

Tya Ariffin komited untuk berkongsi hal positif dan suntikan inspirasi menerusi program bual bicara dalam talian, Bersama Tya. – Agensi