Tya tidak kesal tinggalkan kerjaya

Aktres kelahiran Palembang, Indonesia, Tya Arifin tidak pernah menyesali takdir berkahwin dan berhijrah ke Malaysia saat namanya sedang mekar di tanah kelahiran.

Namun, pernah juga terdetik dalam hati apakah hidupnya sekadar bergelar isteri dan ibu, tanpa kerjaya?

“Secara jujur, saya pernah bertanya kepada suami, Asyraf Khalid, hidup saya untuk apa pada fasa awal perkahwinan. Saya seperti hilang punca.

“Saya tak mahu menjadi isteri yang hanya menunggu kepulangan suami di rumah. Sedangkan, saya sangat aktif ketika hidup solo. Saya tidak betah duduk diam.

“Bagaimanapun, perasaan ini bukan bermaksud saya menyesali setiap keputusan dibuat. Cuma, saya percaya hidup perlu diteroka dan bukan hanya duduk berpeluk tubuh. Saya mahukan sesuatu yang boleh dimanfaatkan,” katanya kepada media.

Tya Arifin. – Agensi

Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandari Arifin berkata, detik menyulam cinta selama setahun setengah bersama suami mengubah kehidupan dengan drastik.

“Berkahwin dengan Asyraf memerlukan pengorbanan besar. Saya tinggalkan kerjaya seni yang sedang memuncak dan hidup ber-jauhan dengan keluarga.

“Saya bukanlah anak orang senang. Sebelum ini, saya mencari rezeki untuk menyara keluarga.

“Saya perlu membiasakan diri dengan kehidupan apabila berhijrah mengikut suami ke Malaysia. Ia bukan sesuatu yang mudah. Perasaan saya pernah bergelut antara keluarga, kerjaya dan masa depan bersama Asyraf,” katanya yang dikurniakan sepasang cahaya mata, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, 2, yang kini menjadi pelengkap kebahagiaan.

Nyata, pengorbanan pelakon filem King of Rock City dan Garuda Superhero itu memberikan 1001 hikmah, posisi ibu mulai mengubah perjalanan hidupnya.

“Saya kian nampak ada hala tuju dalam hidup. Menjadi ibu kepada dua cahaya mata tidak pernah membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup. Saya jadi lebih optimis dan bersemangat apabila perniagaan yang diusahakan dapat membantu mengubah nasib orang lain,” katanya. – Agensi