Tze Liang rangkul pingat emas Sukan SEA ke-13

HANOI, 9 MEI – Atlet terjun Malaysia, Ooi Tze Liang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas merangkul pingat emas Sukan SEA yang ke-13 peribadinya di Pusat Akuatik My Dinh, Vietnam kelmarin.

Kejayaan dilakar beliau hadir selepas beliau mendominasi saingan final acara 1m papan anjal lelaki Sukan SEA ke-31 yang berlangsung kelmarin sekali gus meraih emas ketiga kontinjen Malaysia pada temasya sukan dwitahunan itu.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini, Tze Liang berkata dengan kejayaan membawa pulang emas ke-13 itu, beliau telah menyempurnakan misinya di Sukan SEA. 

Pada aksi final kelmarin, penerjun berusia 28 tahun itu menampilkan persembahan terpuji dengan mengumpul 377.70 mata dalam keseluruhan enam terjunan untuk menewaskan enam penerjun lain.

Tze Liang turut mengakui berpuas hati hati dengan persembahan yang dipamerkan walaupun berdepan cabaran dalam persiapannya ke Hanoi ekoran COVID.

Pingat emas diraih Tze Liang kelmarin adalah emas kedua peribadinya selepas turut menjuarai acara 3m papan anjal seirama lelaki bersama gandingan Chew Yi Wei, semalam. – Bernama

Reaksi atlet terjun Malaysia, Ooi Tze Liang dengan pingat emas yang dimenangi beliau dalam acara 1m papan anjal individu lelaki kelmarin. – Bernama