U Mobile mulakan perniagaan 5G

LANGKAWI, 19 JAN – U Mobile Sdn Bhd memulakan perjalanan perniagaan 5G dengan memperuntukkan RM300 juta untuk merombak operasinya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Wong Heang Tuck.

Beliau berkata syarikat telah memperuntukkan RM100 juta untuk menambah baik perkhidmatan terasnya untuk menyokong perkhidmatan 5G dan RM200 juta untuk mengukuhkan sistem bil.

Bercakap pada taklimat media hari ini, katanya perkhidmatan teras dijadualkan menjadi sedia 5G pada pertengahan tahun ini.

“Langkah rombakan semasa hanya meliputi ‘back-end’, belum lagi ‘front-end’. Oleh itu, lebih banyak pelaburan akan dibuat,” katanya. Mengenai sistem bil, katanya sistem sedia ada akan ditambah baik untuk memastikan ketepatan dalam setiap caj. Mengenai masa depan, Wong berkata U Mobile akan menumpukan kepada tiga vertikal tumpuan, iaitu penjagaan kesihatan yang diupayakan oleh 5G, Revolusi Perindustrian Keempat dan perkhidmatan e-sukan.

Beliau berkata vertikal ini dijangka menjadi antara yang pertama menggunakan dan mengambil peluang daripada manfaat penuh 5G dan potensi tanpa hadnya. – Bernama

Wakil-wakil media juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba realiti maya (VR) Tourism pelancongan pada kes kegunaan 5G U Mobile. – Bernama