UAE bakal beli peluru berpandu Korea Selatan

SEOUL, 17 NOV – Emiriah Arab Bersatu (UAE) merancang membeli peluru berpandu jarak sederhana buatan Korea Selatan menerusi perjanjian yang nilainya kemungkinan mencecah AS$3.5 bilion, lapor Yonhap.

Menurut ciapan Kementerian Pertahanan UAE pada Selasa kementerian merancang mendapatkan peluru berpandu dikenali M-SAM.

Bagaimanapun, butiran lanjut tidak didedahkan.  Seorang pegawai di Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan Korea Selatan (DAPA) menyifatkan pengumuman UAE satu yang ‘positif’ tetapi rundingan mengenainya belum dimuktamadkan.

“Kami masih perlu meneliti dengan lebih terperinci mengenai butiran rundingan,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.

Sistem M-SAM itu dikenali “Cheongung II bermaksud ‘busur syurga’ dalam bahasa Korea, menggunakan teknologi ‘hit-to-kill’ dan direka untuk memintas peluru berpandu musuh dari ketinggian di bawah 40 kilometer.

Agensi Pembangunan Pertahanan melancarkan projek M-SAM pada 2012.

M-SAM telah mendapat kelulusan untuk operasi di lapangan pada 2017 dan pengeluaran besar-besarannya bermula pada tahun berikutnya.

Firma pertahanan tempatan termasuk LIG Nex1 dan Hanwha Systems turut menyertai projek pembuatan peluru berpandu itu. – Bernama