UAE bakal catat misi pertama ke Marikh

DUBAI, 10 JULAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini berjaya membangunkan program tenaga nuklear dan menghantar manusia ke angkasa, kini merancang untuk menyertai negara elit lain dengan menghantar misi ke Marikh.

UAE yang terkenal dengan bangunan pencakar langit dan tarikan pelancongan mega, kini sedang berusaha untuk menjadi dunia Arab pertama berbuat demikian.

Ia juga sempena ulang tahun ke-50 penyatuan UAE, dengan kapal angkasa lepas tanpa pemandu dikenali sebagai ‘Hope’ dijangka tiba ke sasaran pada Februari tahun depan, selepas dilancarkan pada 15 Julai depan di Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun.

Menjelang pelancaran misi ke Marikh, UAE membuka pintu kepada orang Arab di seluruh rantau itu untuk mengambil bahagian dalam program angkasanya selama tiga tahun.

Pusat Angkasa Lepas Mohammed Bin Rashid (MBRSC), yang mengetuai projek Marikh dengan kira-kira 450 kakitangan dengan lebih separuh adalah warga UAE, diselubungi dengan keterujaan. – AFP