UAE bakar sisa untuk hasilkan tenaga elektrik

SHARJAH, 4 NOV – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menemui cara baharu untuk melupuskan timbunan sampah di kawasan padang pasir melalui alat pembakar yang akan memproses sisa itu kepada tenaga elektrik.

UAE yang juga salah satu negara pengeksport minyak terkemuka dunia sedang dalam proses membina loji sisa pertama yang akan diproses menjadi tenaga bagi mengatasi masalah lambakan sampahnya yang kronik dan pada masa sama, kebergantungan kepada stesen janakuasa bahan api gas.

Bagaimanapun, aktivis alam sekitar kurang yakin dengan inisiatif berkenaan.

Menurut mereka, usaha melalui kitar semula, pengkomposan dan mengubah tabiat daripada kadar penggunaan bersifat membazir adalah lebih baik untuk alam sekitar.

Mereka turut memberi amaran risiko berlakunya pencemaran akibat daripada penggunaan alat pembakar gas rumah hijau.

Dalam pada itu, jurutera syarikat pengurusan sisa, Bee’ah, Nouf Wazir, berpandangan sebaliknya dengan menyifatkan ia adalah satu cara untuk menggunakan sampah yang tidak boleh dikitar semula.

“Bukan semua orang tahu bahawa sisa juga ada nilainya,” kata Wazir yang juga jurutera kanan bagi projek berkenaan.

Fasiliti yang dibangunkan di bandar Sharjah itu dijangka dilancarkan tahun ini dan akan digunakan untuk membakar lebih 300,000 tan sisa setahun untuk membekalkan tenaga kepada 28,000 rumah.

Projek loji janakuasa yang dijangka siap pada 2024 itu adalah salah satu yang terbesar di dunia dan mampu memproses 1.9 juta tan sisa setahun iaitu kira-kira 45 peratus daripada sampah dibuang isi rumah di negara berkenaan. – AFP

Pekerja kelihatan bersebelahan loji pengurusan sisa yang sedang dibina oleh syarikat Bee’ah di Sharjah. – AFP