UAE beli 80 jet pejuang Rafale

DUBAI, 3 DIS – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani kontrak bernilai 14 bilion euro untuk kapal terbang perang Rafale buatan Perancis dan memperuntukkan berbilion euro dalam perjanjian lain ketika Presiden Emmanuel Macron melancarkan lawatan ke negara Teluk hari ini.

Tempahan antarabangsa terbesar yang pernah dilakukan untuk jet Rafale dimeterai ketika Macron mengadakan rundingan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed pada awal lawatan dua hari yang juga termasuk Qatar dan Arab Saudi.

UAE, salah satu pelanggan terbesar industri pertahanan Perancis, juga memeterai tempahan untuk 12 helikopter tentera Caracal dengan harga berjumlah 17 bilion euro.

“Ia adalah hasil daripada perkongsian strategik di antara kedua-dua negara, menggabungkan kapasiti mereka untuk autonomi dan keselamatan negara,” kata presiden Perancis dalam satu kenyataan.

Dana kekayaan Mubadala Abu Dhabi juga memperuntukkan lapan bilion euro dalam pelaburan dalam perniagaan Perancis, sementara lesen cawangan galeri seni Louvre di ibu negara UAE dilanjutkan 10 tahun sehingga 2047.

Emiriah ialah pelanggan kelima terbesar untuk industri pertahanan Perancis dengan 4.7 bilion euro dari 2011-2020, menurut laporan parlimen.

Tempahan Rafale yang dimeterai hari ini, sementara Macron bertemu dengan Sheikh Mohammed di tapak Ekspo Dubai, merupakan yang terbesar dunia untuk pesawat udara sejak ia beroperasi pada 2004. – AFP

Emmanuel Macron (kiri) bergambar bersama Putera Mahkota Mohammed bin Zayed al-Nahyan semasa mesyuarat mereka di Dubai kelmarin. – AFP