UAE benarkan perkahwinan dalam talian

DUBAI, 12 APRIL – Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan perkhidmatan perkahwinan dalam talian yang membenarkan pasangan berkahwin di tengah sekatan ke atas pergerakan dan interaksi yang dikenakan untuk memerangi koronavirus.

UAE telah mengambil langkah ketat untuk membendung penularan penyakit pernafasan COVID-19, yang telah meragut lebih 100,000 nyawa di seluruh dunia.

Kementerian keadilan berkata hari ini rakyat dan penduduk boleh menetapkan tarikh untuk majlis perkahwinan dalam talian yang dikendali menerusi pautan video bersama seorang jurunikah selepas dokumen mereka dihantar dan diluluskan, juga dalam talian, menurut agensi berita UAE WAM.

Prosedur itu akan melihat seorang jurunikah mengesahkan identiti pasangan dan saksi, sebelum sijil perkahwinan dihantar kepada mahkamah khas untuk disahkan.

Pasangan itu akan menerima pengesahan sijil perkahwinan mereka menerusi pesanan teks. Perkhidmatan itu dilancarkan ‘untuk mengekalkan kesihatan orang awam dan pegawai yang bekerja di mahkamah dan mengehadkan kehadiran pekerja,” lapor WAM.

Keputusan ini keluar selepas Dubai, satu daripada tujuh emiriah yang membentuk UAE, berkata pada Rabu ia menggantung ‘sehingga notis lanjut’ perkahwinan dan perceraian di emiriah. Tidak ada pengumuman yang telah dibuat mengenai prosiding perceraian.

Dubai telah mengehadkan pergerakan penduduk dan kenderaan buat sementara waktu ini, kecuali mereka yang bekerja dalam ‘sektor penting’ dan ‘dengan keperluan penting,’ seperti makanan dan ubat. – AFP