DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 21 DIS – Diplomat tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengakui pengharaman ke atas pelawat dari Pakistan, yang dikatakan oleh ejen pelancongan juga menyasarkan pelancong dan pekerja dari puluhan negara dengan majoriti penduduk Islam di tengah pandemik dan pemulihan hubungan UAE dengan Israel.
Berikutan satu mesyuarat dengan rakan sejawatan Pakistan, Menteri Luar Emiriah Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan menekankan ‘ciri-ciri sementara sekatan terbaharu yang dikenakan ke atas pengeluaran visa disebabkan wabak COVID-19,” lapor agensi berita WAM semalam.
Beliau tidak mengulas lanjut mengenai penggantungan visa, yang telah mengelirukan ekspatriat yang berusaha memasuki persekutuan tujuh negara itu, di mana warga asing melebihi penduduk tempatan dengan nisbah sembilan berbanding satu.
Sekatan visa yang dilaporkan menyasarkan negara seperti Lubnan, Kenya, Iran, Syria, Afghanistan dan Yaman keluar tatkala pelancong mula tiba di negara Teluk Persia menggunakan pasport Israel selepas perjanjian pemulihan hubungan. Kerajaan Emiriah dan Israel berusaha mencapai perjanjian pengecualian visa untuk diberikan kepada pelancong Israel selepas tiba.
Saeed Mohammed, ejen pelancongan di Arabian Nights Tours di Dubai, berkata hari ini kadar kelulusan visa untuk keluarga dari Pakistan dan beberapa negara Timur Tengah telah meningkat sejak beberapa minggu lalu. Namun lelaki bujang dari negara berkenaan tidak dibenarkan masuk, justeru mencetuskan spekulasi pengharaman mungkin dikaitkan dengan keselamatan atau isu visa melebihi tempoh. – AP





























