UAE hantar pulang warga Sri Lanka

COLOMBO, 14 JUN – Lima orang warga Sri Lanka yang dikehendaki berkaitan dengan pengeboman maut Easter dan diberkas di Dubai, dihantar pulang hari ini, menurut polis.

Antara suspek itu ialah Mohamed Milhan, pemimpin kanan National Thowheeth Jama’ath (NTJ), kumpulan militan yang dipercayai bertanggungjawab ke atas pengeboman 21 April yang membunuh 258 orang, menurut polis.

“Pegawai dari Jabatan Penyiasatan Jenayah membawa suspek kembali ke Sri Lanka pagi ini,” kata jurucakap polis Ruwan Gunasekera dalam satu kenyataan. Tiada butiran lanjut mengenainya.

Ini merupakan kali kedua suspek ditangkap di luar negara berkaitan serangan ke atas tiga buah gereja dan tiga buah hotel mewah yang diakui oleh kumpulan Islamic State. – AFP