UAE lancar misi pertama ke Marikh

DUBAI, 10 JUN – Misi angkasa lepas Arab pertama ke Marikh, berbekalkan kapal perayau untuk mengkaji atmosfera Planet Merah itu, direka untuk memberi inspirasi kepada belia negara dan membuka laluan kepada kemajuan saintifik, kata pegawai semalam.

Kapal Al-Amal – Harapan dalam Bahasa Arab – dijangka berlepas dari pusat angkasa lepas Jepun pada 15 Julai, dengan persediaan kini berada dalam peringkat akhir. Projek itu merupakan langkah besar untuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan bangunan pencakar langit dan projek besar telah meletakkannya di peta dunia.

UAE menghantar angkasawan pertama ke angkasa lepas pada tahun lalu dan juga merancang membina ‘Bandar Sains’ untuk meniru keadaan di Marikh, di mana ia berharap dapat membina penempatan manusia pada tahun 2117.

Omran Sharaf, pengurus projek misi, berkata selain matlamat saintifik, misi itu bertujuan mengingatkan kembali era kegemilangan kejayaan budaya dan saintifik.

“UAE mahu menghantar mesej kepada belia Arab dan mengingatkan mereka tentang masa lampau, bahawa kami pernah menjadi penjana ilmu,” beritahunya kepada AFP. Sarah al-Amiri, penolong pengurus projek misi, berkata adalah penting projek itu mempunyai kesan saintifik jangka panjang.

“Ia bukan misi pendek, namun misi yang akan berterusan dan menghasilkan keputusan saintifik yang berharga, daripada penyelidik di UAE ataupun luar negara,” beritahunya kepada AFP. – AFP

Gambar fail menunjukkan penduduk Emiriah berkumpul di Pusat Angkasa Lepas Mohammed bin Rashid di Dubai. – AFP