UAE panggil diplomat Iran susulan ucapan presiden

ABU DHABI, 17 OGOS – Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin memanggil diplomat kanan kedutaan Iran di Abu Dhabi ekoran ucapan presidennya mengenai perjanjian antara Israel dan UAE, lapor agensi berita Xinhua.

Kuasa Usaha Iran itu dipanggil ke kementerian dan Timbalan Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa untuk hal ehwal politik, Khalifa Shaheen Al Marri, menyerahkan nota bantahan berhubung “ancaman yang terkandung dalam ucapan Presiden HassanRouhani mengenai keputusan UAE,” menurut agensi berita rasmi WAM. Kementerian itu menyifatkan ucapan berkenaan “bersifat menghasut, tidak boleh diterima dan mempunyai implikasi serius terhadap keselamatan serta kestabilan di wilayah Teluk.”

Kandungan nota itu antara lain, memperingatkan mengenai tanggungjawab Iran untuk melindungi misi dan diplomat UAE di Tehran sesuai dengan Konvensyen Vienna. UAE dengan tegas menolak “ucapan bersifat menghasut yang disampaikan pihak berkuasa Iran”, menganggap ia “campur tangan dalam urusan dalamannya dan serangan terhadap kedaulatannya.” – Bernama