ABU DHABI, 3 OKT – Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul penyumbang utama dan kelima terbesar di dunia untuk Program Makanan Sedunia (WFP), dengan nilai sumbangan berjumlah AS$270 juta pada 2019.
“Bagaimanapun, sumbangan utama UAE adalah dengan menjadi tuan rumah WFP sepanjang 15 tahun lalu. UAE menyumbang secara efisien kepada operasi kami di Yaman, Bangladesh untuk pelarian Rohingya dan program sekolah di Cuba,” kata Pengarah WFP untuk UAE merangkap wakil GCC, Mageed Yahia, memetik agensi berita WAM.
“Kami berbangga dengan perkongsian ini dan bekerjasama untuk terus mengukuhkannya dan bersama-sama bergerak ke hadapan,” katanya.
Yahia berkata demikian pada perbincangan meja bulat yang dipengerusikan WFP di Kelab Koresponden Asing di Abu Dhabi.
Pengarah Wilayah WFP untuk Afrika Timur, Erika Joergensen, berkata “WFP bergantung sepenuhnya pada sumbangan dari negara anggota.”
“Hari ini, UAE berada di tempat kelima selepas Amerika Syarikat,United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Jerman. Tahun 2019 menyaksikan peningkatan sumbangan UAE berjumlah AS$270 juta,” katanya. “Tahun ini kira-kira 7.2 juta penduduk di Uganda, Kenya, Habsyah dan Somalia terjejas akibat kemarau,” kata Yahia.
WFP khuatir memandangkan musim hujan yang singkat pada Oktober-Disember di Kenya, Somalia dan Habsyah, sekaligus akan memanjangkan cuaca kering, memberi kesan negatif kepada keselamatan makanan.
Sejumlah AS$ 270.2 juta bantuan amat diperlukan untuk membantu 4.6 juta orang di empat negara itu. – Bernama


































