Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    UAE sasar pelaburan asing AS$600 bilion menjelang 2031

    ABU DHABI, 6 NOV – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyasarkan untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak tiga kali ganda kepada 2.2 trilion AED (sekitar AS$600 bilion) menjelang 2031, kata Naib Presiden dan Perdana Menteri, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum pada Selasa, lapor Xinhua.

    Rancangan bercita-cita tinggi yang dikenali sebagai Strategi Pelaburan UAE itu diumumkan oleh Mohammed bin Rashid di platform media sosial X.

    Walaupun menghadapi kemelesetan global, UAE mencatat peningkatan aliran masuk FDI kepada 112.6 bilion AED pada 2023, yang digambarkan oleh Perdana Menteri UAE sebagai ‘lonjakan luar biasa’ yang menekankan ‘kejayaan hala tuju dan strategi kita serta keyakinan tinggi yang dinikmati negara kita dalam kalangan masyarakat antarabangsa.’

    Strategi tersebut bertujuan untuk menggandakan FDI kumulatif kepada 1.3 trilion AED dan mencapai baki FDI keseluruhan sebanyak 2.2 trilion AED menjelang 2031, menurut Mohammed bin Rashid yang juga merupakan pemerintah Dubai.

    Itu akan melibatkan usaha menarik pelaburan baharu dalam sektor keutamaan, memperluas projek sedia ada, mengukuhkan kerjasama antarabangsa, meningkatkan hubungan dengan pelabur dan meningkatkan daya saing keseluruhan, tambah beliau. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan karya seni bernama Win, Victory and Love digambarkan di hadapan Burj Khalifa, bangunan tertinggi dunia, di Dubai di Emiriah Arab Bersatu, pada 24 Januari 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda