UAE selesa, Syria kecundang

ABU DHABI, 11 Jan –Tuan rumah Piala Asia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semakin menghampiri pusingan 16 terakhir sukan itu hari ini tatkala jurulatih Bernd Stange terpaksa membayar harga mahal setelah Syria tewas di tangan Jordan – menjadi pengendali kedua yang dipecat dalam tempoh enam hari saingan bermula.

UAE terlepas permulaan yang sukar sebelum mengalahkan India 2-0 namun ia merupakan malam menyedihkan buat Stange, 70, yang menyaksikan kekalahan Syria 2-0, dan kemudian dipecat.

“Persekutuan Bolasepak Arab Syria telah memutuskan untuk memecat jurulatih Bernd Stange,” menurut kenyataan badan itu, dengan menambah bekas jurulatih skuad kebangsaan, Fajr Ibrahim akan menggantikan tugasnya itu bagi perlawanan terakhir menentang Australia dalam Kumpulan B.

Stange menyusuli pemecatan bekas jurulatih Thailand, Milovan Rajevc, selepas pengendali dari Serbia itu dipecat susulan kekalahan Gajah Perang 1-4 kepada India. Namun, pasukan itu bangkit menundukkan Bahrain 1-0 dalam saingan yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun, kemenangan Jordan itu menjadikan mereka pasukan pertama yang mara ke pusingan kalah mati, selepas berjaya menumpaskan juara bertahan Australia.

Di Abu Dhabi, Khalfan Mubarak dan Ali Mabkhout melakar jaringan buat pasukan UAE, yang bernasib baik seri 1-1 dengan Bahrain selepas sepakan penalti yang dipertikaikan pada hujung minggu lalu.

“Keputusan menentang Bahrain mengecewakan dan saya dengan rendah hati memohon maaf kepada penyokong,” kata jurulatih UAE, Alberto Zaccheroni, yang pernah mengemudi Jepun menjuarai gelaran Piala Asia 2011.

“Namun, para pemain menunjukkan semangat dan kesungguhan yang besar malam ini dan kami layak dengan kemenangan itu. Adalah penting untuk maju dalam saingan ini.” – AFP

Ali Mabkhout (kanan, dua) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua ketika menentang India dalam Kumpulan B di Stadium Bandar Sukan Zayed di Abu Dhabi, UAE, kelmarin. – AP