UAE umum rombakan kerajaan

DUBAI, 6 JULAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam mengumumkan rombakan kerajaan besar-besaran yang menyaksikan gabungan beberapa kementerian dan jabatan selain pelantikan menteri ekonomi dan industri  yang baharu, lapor agensi berita Xinhua.

Rombakan itu diumumkan Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di akaun Twitter rasminya.

Langkah berkenaan sebagai sebahagian usaha mewujudkan kerajaan yang lebih cekap di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

“Matlamat kami daripada perubahan itu adalah ia akan membentuk pentadbiran yang lebih cekap dan pantas dalam membuat keputusan,” katanya.

Perdana menteri turut mengumumkan penubuhan kementerian baharu iaitu Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maju, dan melantik ketua syarikat minyak Abu Dhabi ADNOC Sultan al-Jaber sebagai menterinya.

Selain itu, 50 peratus pusat perkhidmatan kerajaan dimansuhkan dan bakal ditukar kepada platform digital dalam masa dua tahun.

UAE ialah negara Teluk pertama melaporkan kes COVID-19. Semalam negara itu mengumumkan 683 kes baharu, menjadikan jumlah kes disahkan sebanyak 51,540. – Bernama