UAE umum visa hijau, longgar syarat permastautinan

DUBAI, 5 SEPT – Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan visa baharu hari ini yang membenarkan warga asing bekerja di negara itu tanpa ditaja oleh majikan, justeru melonggarkan syarat-syarat permastautinan dalam usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Warga asing di UAE pada umumnya hanya diberikan visa terhad yang dikaitkan dengan pekerjaan mereka, dan pemastautin jangka panjang adalah sukar untuk diperoleh.

Namun mereka yang memegang ‘visa hijau’ baharu boleh bekerja tanpa tajaan syarikat, dan boleh menaja ibu bapa dan anak mereka yang berusia sehingga 25 tahun, kata pegawai.

“Ia menyasarkan individu berkemahiran tinggi, pelabur, ahli perniagaan, usahawan serta pelajar amat cemerlang,” kata Menteri Perdagangan Luar Thani al-Zeyoudi.

Pada 2019, UAE melancarkan ‘visa keemasan’ 10 tahun untuk menarik individu kaya dan pekerja berkemahiran tinggi, skim pertama seumpama itu di Teluk. Program yang sama telah dilancarkan sejak itu di negara Teluk lain, seperti Arab Saudi dan Qatar. – AFP