Ubah cabaran teknologi kepada peluang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Usaha-usaha perlu dimaksimumkan dalam menggunakan teknologi sebagai cara untuk menjadikan cabaran-cabaran dalam pendidikan menjadi peluang-peluang untuk pendidikan yang lebih baik bagi generasi muda dan masa depan yang lebih baik bagi Negara Brunei Darussalam khususnya dan seluruh dunia secara amnya.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Riding the Wave of Fourth Industrial Revolution: The Education Perspective’, semasa sesi panel peringkat menteri pada Sidang Kemuncak Bett Asia Leadership dan ekspo yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, dalam ucaptama itu, Yang Berhormat Dato mengongsi Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022 di mana matlamat-matlamat dan inisiatif-inisiatifnya bertujuan menyediakan generasi muda Negara Brunei Darussalam agar dapat mengatasi cabaran-cabaran dan memanfaatkan peluang-peluang dari Revolusi Industri ke-4.

Beliau turut mengongsikan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk melahirkan individu-individu yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, untuk memberikan kualiti hidup yang tinggi dan menjana ekonomi dinamik serta mampan yang merupakan tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035.

Sidang kemuncak yang membawa tema ‘Building a Change Culture to Deliver 21st Century Learning’ dan dihadiri oleh delegasi Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah dan diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin itu berlangsung selama dua hari hingga kelmarin.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menyampaikan ucaptama pada persidangan itu. – Gambar dari Kementerian Pendidikan

Sidang kemuncak itu turut disertai oleh lebih daripada 30 buah negara termasuk United Kingdom, Australia, Hong Kong, India, Malaysia dan Republik Filipina yang mana ia bertujuan untuk mengongsi ilmu pengetahuan, idea serta pengalaman-pengalaman mengenai keberkesanan teknologi pendidikan di bilik darjah di negara masing-masing.

Semasa acara itu juga, perkara yang turut dibincangkan adalah transformasi pendidikan dan penerokaan inovasi yang memberi inspirasi kepada perubahan di rantau Asia Pasifik.

Acara yang didukung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia itu juga merangkumi sebuah pameran alat-alat bantu mengajar, teknik-teknik dan latihan dalam meningkatkan kemahiran para pengajar di dalam bilik darjah.

Menteri Pendidikan Malaysia, Tuan Yang Terutama Maszlee bin Malik, Pesuruhjaya Perdagangan untuk Asia Pasifik- Utara Timur Asia, Selatan Timur Asia dan Australasia, Natalie Black dan Setiausaha Kementerian Pendidikan Republik Filipina, Jesus LR Mateo turut menyampaikan ucaptama pada sidang tersebut.