Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Ubah gaya hidup demi kesihatan

    RIYADH – Sudah lama terbiasa dengan hidangan berat makan tengah hari seperti pinggan berisi nasi dan daging, Asim al-Shammari kini beralih kepada sajian yang lebih ringan dari restoran diet pilihannya, dipengaruhi oleh kempen anti-obesiti di Arab Saudi.

    Kira-kira satu dalam lima orang dewasa di Arab Saudi mengalami obesiti, menurut kajian menyeluruh yang diterbitkan oleh Bank Dunia tahun lalu yang menyifatkan masalah tersebut sebagai ‘membimbangkan’.

    Pusat Pemantauan Obesiti Global menempatkan kerajaan Arab di kedudukan ke-17 dalam ranking obesiti antarabangsa, tiga tangga di bawah Amerika Syarikat (AS) dan berdekatan dengan negara jiran Qatar dan Kuwait.

    Namun agenda reformasi Visi 2030 yang dipelopori oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman termasuk matlamat untuk mengurangkan obesiti dan diabetes menjelang penghujung dekad ini.

    Usaha tersebut dibantu oleh sejumlah restoran baharu yang menawarkan alternatif yang lebih sihat kepada beberapa hidangan tradisional Arab Saudi, termasuk tempat di mana Shammari, seorang penganalisis kewangan, menikmati hidangan ayam, nasi dan lobak yang lebih ringan di sebuah restoran baru-baru ini.

    Basil Chehayeb bergambar di restorannya, Reshape di ibu negara Riyadh. – AFP
    Seorang pekerja restoran menyediakan sajian diet untuk pelanggan di Riyadh. – AFP
    Seorang pelanggan menikmati makanan di restoran diet di Riyadh. – AFP

    Seorang pekerja restoran menyediakan sajian diet untuk pelanggan di Riyadh. – AFP
    Kakitangan restoran menimbang pinggan ketika menyediakan makanan untuk seorang pelanggan di Riyadh. – AFP

    “Saya sudah biasa makan burger, shawarma atau kabsa ketika saya berada di tempat kerja,” kata lelaki berusia 28 tahun itu, merujuk kepada sajian nasi yang biasanya dihidangkan di atas pinggan besar.

    “Hal ini meningkatkan risiko obesiti, terutamanya dengan kerja pejabat selama lapan jam dan kurangnya aktiviti fizikal.”

    Selama beberapa dekad, penduduk Arab Saudi menghabiskan banyak masa lapang mereka di restoran dan pusat membeli-belah, dan makanan menjadi sumber utama hiburan di negara itu, di mana suhu yang tinggi menghalang aktiviti luar sepanjang tahun.

    Pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan mula mewajibkan restoran-restoran untuk memasukkan maklumat kandungan kalori pada menu restoran bagi menggalakkan pemakanan sihat.

    Pilihan makanan segera daripada sajian kegemaran antarabangsa seperti McDonald’s hingga rangkaian tempatan seperti AlBaik – masih tersebar luas di bandar-bandar utama negara, tetapi restoran berkenaan mula menghadapi persaingan yang lebih sengit.

    Saad al-Hader, seorang doktor berusia 25 tahun, berkata dia selalu membawa makanan dari rumah untuk dimakan selain snek ringan yang tidak sihat, tetapi jumlah restoran yang peka terhadap kesihatan telah menjadikan hidupnya lebih mudah.

    “Kepopularan restoran-restoran ini, dan disebabkan ia berdekatan dengan tempat kerja, menjadikan pemakanan sihat lebih mudah untuk diikuti,” katanya kepada AFP ketika dia makan salmon dan kentang bakar.

    Jumlah restoran yang menawarkan pelan makanan yang menghantar salad dan makanan sihat lain ke rumah dan tempat kerja pelanggan semakin bertambah.

    Salah satu pelan makanan tersebut menyediakan satu hidangan setiap hari selama sebulan dengan harga 450 riyal Saudi (AS$120).

    Basil Chehayeb, seorang warganegara Lebanon yang mengendalikan restoran bernama Reshape di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, berkata dia telah membuka dua cawangan baharu dalam tempoh 18 bulan lalu untuk menampung permintaan.

    Restoran itu menyediakan makanan setiap hari kepada lebih kurang 500 pelanggan, kebanyakannya warga Saudi.

    “Penduduk Saudi telah mengubah gaya hidup mereka dan kini menyertai kelab sukan serta mengamalkan pemakanan sihat,” katanya.

    Usaha yang dijalankan oleh restoran dan perniagaan sektor swasta lain untuk menggalakkan pemakanan sihat telah dilengkapi dengan usaha lain yang mengutamakan kesihatan.

    Persekutuan Sukan untuk Semua di Arab Saudi kini menganjurkan acara-acara berkala seperti Maraton Riyadh, yang pada tahun ini menarik ribuan pelari ke jalan-jalan di Riyadh.

    Pegawai kerajaan juga telah memulakan kerja-kerja pembinaan Sports Boulevard sepanjang 135 kilometer di ibu negara yang merangkumi laluan berjalan kaki, berbasikal dan menunggang kuda.

    Bermula dengan tahun akademik ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah mengharamkan jualan minuman ringan di sekolah-sekolah.

    Mesej tersebut nampaknya menerima respons positif, sekurang-kurangnya dalam kalangan golongan muda, kata pakar kesihatan awam, Lamia al-Brahim.

    “Obesiti merupakan masalah kesihatan yang serius tetapi ia amat ketara sekarang memandangkan kesedaran kesihatan semakin meningkat dalam kalangan generasi muda.

    “Perubahan tingkah laku masyarakat memerlukan masa yang lama, dan usaha ini bermula dari rumah, kemudian sekolah dan seterusnya agensi kerajaan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...