Ubah imej K-pop demi pikat Ernie?

Muzik K-pop begitu asing buat penyanyi, Syamel, 27, suatu ketika dahulu. Kini, bukan sahaja meminati muzik yang mencetuskan fenomena seluruh dunia, malah sanggup berubah imej, sejak beberapa bulan lalu.

Tranformasi dapat dilihat menerusi potongan rambut dan gaya pemakaian, apatah lagi bekas naib juara, Akademi Fantasia 2015 itu berusaha menurunkan berat badan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Ada mendakwa, perubahan disebabkan pengaruh Ernie memandangkan buah hatinya itu adalah pengikut setia muzik dari Korea Selatan itu.

Mengulas perkara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna itu tidak menafikan Ernie banyak membuka matanya mengenai dunia K-pop yang berjaya mencetuskan fenomena di seluruh dunia.

“Bukanlah nak kata tak ikut langsung perkembangan muzik K-pop. Cuma, saya tahu serba sedikit kumpulan mana yang mempunyai peminat paling ramai ketika ini.

Perubahan Syamel dikatakan disebabkan oleh pengaruh Ernie, memandangkan buah hatinya itu adalah pengikut setia muzik dari Korea Selatan itu. – Agensi

“Dan saya akui, Ernie banyak mendedahkan saya kepada muzik K-pop yang disifatkan sangat hebat terutama dari segi penampilan dan persembahan seperti kumpulan BTS yang popular seantero dunia itu.

“Selain Ernie, saya belajar mengenali dunia K-pop menerusi adik beradik saya yang juga peminat setia muzik berkenaan.

Sebagai selebriti, kita kenalah ikut peredaran semasa dan saya selesa dengan imej ini kerana menampakkan sisi berbeza saya,” katanya kepada media.

Syamel berkata, seperkara yang membuatnya terkejut apabila mendekati muzik K-pop ialah mula mendapat kelompok peminat baharu.

“Puncanya saya ada memetik lirik lagu kumpulan BTS dan saya muat naik di laman Twitter. Dari situ, ramai peminat kumpulan berkenaan mula mengikuti laman sosial saya.

Apa yang menyeronokkan, mereka sering berkongsi maklumat mengenai selebriti kesayangan mereka dengan saya. – Agensi