Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ubah pakaian lama menjadi permaidani mesra ekologi

    NEFTA, TUNISIA – Najet mengasingkan sepasang seluar jean lama, bahan mentah untuk permaidani berjenama: kraf tradisional dan mesra ekologi yang sedang disesuaikan untuk pasaran baharu hasil daripada sebuah projek dari padang pasir Tunisia.

    “Saya belajar menenun pada usia kecil, daripada ibu saya,” kata wanita berusia 52 tahun dari bandar oasis Nefta, 500 kilometer dari selatan Tunis.

    Kini, dia sedang menjadikannya satu mata pencarian.

    Dia menjual permaidani kilim gaya Turki menerusi Shanti, perusahaan sosial yang membantu artisan dari seluruh negara Afrika Utara mencari pembeli dan membawa pendapatan utama kepada beberapa komuniti yang tersisih. Shanti merupakan idea anak saudara Najet, Mehdi Baccouche.

    “Membuka jahitan baju rompi lusuh, mengoyakkan pakaian kapas lama, menghasilkan permaidani daripada kain berkenaan, ia merupakan sejenis seni orang kampung di semua rumah Tunisia,” beritahunya kepada AFP.

    Permaidani yang ditenun oleh wanita di bengkel Nafta. – AFP
    Seorang pemilik kedai menyusun hamparan yang ditenun oleh wanita di bengkel yang dikendalikan Shanti di Nefta. – AFP
    Najet bekerja di bengkel yang dikendalikan Shanti di oasis barat daya Tunisia Nefta, ibu negara Tunis. – AFP

    Fatima Alhamal bergambar di bengkel tenunan permaidani di Nefta. – AFP

    Sementara kemahiran tersebut ‘telah wujud sejak dari dulu lagi,’ untuk mencari pembeli merupakan satu cabaran, tambahnya. Pada tahun 2014, dia telah meminta ibu saudaranya menenun permaidani untuk kawannya, dan seterusnya menjualnya menerusi Facebook.

    Melihat potensi yang timbul, dua tahun kemudian dia menubuhkan Shanti, yang membeli hamparan dan mengenakan bayaran untuk menjualnya kepada pengguna.

    Ia juga menggaji pereka yang bekerja dengan artisan untuk mengasah kemahiran reka bentuk mereka dan menjadikan produk mereka lebih mudah dipasarkan.

    “Ia adalah hasil ciptaan saya, ia datang daripada imaginasi saya dan Shanti menerimanya,” kata Najet.

    Najet menggunakan pelbagai jenis baju panas lama, sarung kaki dan pakaian yang didermakan dari pasar lambak tempatan, seterusnya memberkannya nafas baharu sebagai permaidani. Dia tidak berasa bimbang mengalami masalah kehabisan bahan mentah.

    Meskipun kecil, industri pakaian Tunisia masih mengekalkan 1,600 firma beroperasi, menyediakan 100 kali pekerjaan daripada jumlah itu.

    Di Nefta, sebuah bandar dengan kira-kira 22,000 penduduk, Shanti juga telah menubuhkan perniagaan menjual barang-barang keperluan pakaian di mana penenun mempunyai akses bebas kepada bebola benang kapas yang dikitar semula daripada baju terpakai. Penyelaras tempatan persatuan Fatima Alhamal, anak perempuan Najet, berkata kedai itu memberikan ‘perbezaan yang amat besar.’

    Sebelum ini, ‘seorang tukang wanita terpaksa keluar dan mencari bahan, yang perlu dibayar mereka, kemudian memperoleh 12-15 euro untuk sebidang kilim.’

    Sekarang Shanti membayar mereka 40 euro sebidang, sehingga empat bidang maksimum sebulan setiap seorang untuk mengelak memberikan mereka terlalu banyak tekanan melakukan kerja berlebihan.

    Ia seterusnya dijual di Tunisia dan luar negara. Persatuan itu juga membantu pekerja mempertingkat ruang kerja mereka, misalnya memasang penyaman udara – satu keperluan dalam cuaca musim panas yang terik di Tunisia. Kerja berkenaan telah mengubah status sosial wanita yang terbabit.

    “Orang melihat mereka dengan perspektif berlainan sekarang,” ujar Fatima.

    Najet berkata dia berasa gembira kerana dapat mencari nafkah dari rumah.

    “Saya tidak perlu keluar. Saya boleh memasak dan makan di sini, saya boleh bekerja dengan selesa.”

    Baccouche berkata pada mulanya orang mengusiknya kerana melibatkan diri dalam ‘seni pertukangan wanita warga emas.’

    Namun projek itu mengisi bidang kerja berharga di sebuah kawasan di mana wanita tidak mempunyai pekerjaan dan telah berdepan krisis ekonomi semakin teruk sejak pemberontakan yang tercetus pada 2011.

    “Adalah penting untuk menunjukkan bahawa awda boleh menjadi wanita tua yang tidak pernah pergi ke sekolah dan tidak tahu bagaimana menggunakan internet, namun awda masih boleh melakukan sesuatu dan mencari nafkah daripadanya,” katanya.

    Namun persatuan itu juga cuba mengelak menimbulkan konflik di kalangan keluarga.

    Ia membayar wanita bukan dalam wang tunai tetapi dalam akaun pejabat pos di mana suami mereka tidak dapat melihat jumlah yang mereka peroleh – atau menggunakannya untuk membayar bil rumah.

    Menggunakan sistem tempahan terlebih dahulu, Shanti menguruskan sebuah butik di ibu negara Tunis.

    ‘L’Artisanerie’ juga bertindak sebagai satu ruang untuk penyelaras yang melatih artisan dari kawasan luar bandar lain, menghasilkan perabot buluh, seni menulis sajak dan sulaman.

    Dalam masa empat tahun, lebih daripada 200 pengeluar berjaya mencari pasaran untuk hasil mereka. Enam puluh bekerja setiap hari untuk L’Artisanerie.

    “Kami berusaha menunjukkan bahawa awda boleh menghasilkan sesuatu 100 peratus dari Tunisia, dengan bahan dan kemahiran Tunisia, tetapi dengan corak yang memenuhi cita rasa semasa,” kata Baccouche.

    Sesetengah produk, ciptaan bersama oleh artisan dan pereka Shanti, dijual kepada penduduk Tunisia yang mementingkan corak.

    Yang lainnya dieksport atau dijual kepada firma lebih besar – seperti Indigo, pengeluar untuk Zara, atau Mango, yang baru-baru ini membeli 164 permaidani dibuat daripada jean dikitar semula.

    Untuk sekarang, sistem itu masih bergantung pada beberapa sokongan daripada persatuan bukan keuntungan seperti Oxfam atau bantuan pembangunan Belanda.

    Namun Baccouche mempunyai cita-cita besar, dengan Shanti berkembang kepada pertanian dan ekopelancongan mampan.

    “Kami cuba mendirikan ke-seluruhan rantaian pengelua-ran dan logistik mesra ekologi,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...