Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Ubah tanah terbiar jadi pondok kebun

    JOHOR BARU – Sekumpulan penduduk di Presint Utama Mutiara Rini di negeri ini berjaya mengubah tanah terbiar di kawasan perumahan mereka sejak 20 tahun lepas, menjadi kebun yang dipenuhi dengan pelbagai tanaman termasuk padi dan juga ternakan.

    Lebih membanggakan apabila setiap hasil diperoleh, dijual semula kepada komuniti kejiranan untuk tujuan pembangunan kebun.

    Ketua Projek Pondok Kebun, Md Azaly Man, 43, berkata projek di tanah berkeluasan kira-kira dua ekar itu dimulakan pada 29 Jun lepas untuk mengisi waktu lapang mereka sekali gus melakukan aktiviti bermanfaat.

    Katanya, sehingga kini mereka berjaya menternak 10,000 ekor anak ikan tilapia, 100 ikan patin, 500 ikan keli, 60 ayam kampung, menanam 228 padi secara hidroganik, sayur-sayuran dan pelbagai lagi.

    “Pada permulaan hanya 20 orang ahli bersama mengusahakan pondok kebun ini, kini jumlah penyertaan meningkat kepada 200 orang daripada pelbagai bangsa, boleh kata 10 peratus daripada 1,200 keseluruhan populasi penduduk di sini telah sertai.

    Penduduk Presint Utama, Mutiara Rini, Johor Bahru menternak ikan dan itik yang diusahakan secara bersama atas tanah hutan terbiar. – Agensi

    “Dengan komitmen jiran-jiran, tanah ini yang dahulunya hutan, dinaiki semak samun dan dikhuatiri memberi ancaman haiwan berbisa seperti ular dan tempat nyamuk, menjadi pondok kebun yang bersih,” katanya ketika ditemui di Pondok Kebun itu.

    Md Azaly yang juga seorang konsultan landskap dan binaan berkata setiap hasil diperoleh, dikumpulkan setiap minggu untuk dijual kepada komuniti kejiranan dengan harga tidak ditetapkan dengan konsep bayar seikhlas hati.

    “Semua yang kita bangunkan di Pondok Kebun ini adalah atas usaha dan perkongsian bersama…hasil dijual untuk dapat balik pendapatan bertujuan untuk pembangunan,mengekalkan kebun, beli baja dan sebagainya,” katanya.

    Menurutnya, Pondok Kebun itu dibangunkan dengan tiga konsep tanaman merangkumi rancangan jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang selain berharap ia dapat menjadi pusat komuniti setempat suatu hari nanti, sekali gus menjadi bank makanan.

    “Untuk jangka panjang kita tanam buah-buahan seperti durian, kelapa pandan, manggis, rambutan dan sebagainya.

    “Tempoh sederhana pula tebu, pisang dan betik, manakala untuk jangka pendek kita tanam sayur-sayuran dan tumbuhan hijau untuk dapat hasil cepat dan menternak,” katanya yang juga mempunyai pengalaman membuka sebuah tapak semaian di Kota Tinggi.

    Md Azaly pada masa sama berharap agar Pondok Kebun itu dapat memberikan impak positif dan mampu berperanan untuk mendidik anak-anak terutama dalam mengenali tumbuhan, haiwan dan cara pengendalian kebun. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...