Ubat anti-malaria rawat COVID-19 diluluskan

MOSCOW, 17 APRIL – Kerajaan Rusia telah meluluskan penggunaan ubat anti-malaria untuk merawat pesakit koronavirus meskipun timbul kebimbangan antarabangsa berhubung keselamatan dan keberkesanannya.

Kerajaan menyiarkan satu arahan lewat semalam yang membenarkan penggunaan hydroxychloroquine ke atas pesakit selepas China menyumbang lebih 68,000 pek pil kepada Rusia.

Arahan itu disiarkan selepas Presiden Vladimir Putin mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin China Xi Jinping petang semalam.

Ia berkata ubat itu akan diedar ke hospital yang merawat pesakit yang diuji positif dijangkiti koronavirus atau disyaki menghidapinya. Ia berkata keselamatan dan keberkesanan ubat akan dipantau oleh badan pengawas kesihatan negara.

Hydroxychloroquine telah digunakan berdekad lamanya untuk merawat malaria dan sedang diuji di seluruh dunia ke atas virus bersama ubat anti-malaria lain, chloroquine.

Kedua-duanya berpotensi memberikan kesan sampingan serius, terutamanya dalam dos tinggi atau apabila digunakan bersama ubat lain, dan penggunaan mereka untuk merawat virus masih dalam tahap percubaan, tanpa menjalani ujian klinikal komprehensif.

Sesetengah orang melihat mereka sebagai senjata berpotensi dalam usaha memerangi virus sementara masih belum adanya penawar terbukti atau vaksin.

Hydroxychloroquine telah menunjukkan kesan awal ke atas COVID-19 dalam kajian kecil di Perancis dan China untuk mengurangkan tahap virus di kalangan orang yang dijangkiti teruk. – AFP