Ubat antiviral Remdesivir digunakan rawat COVID-19

PUTRAJAYA, 17 APRIL – Ubat antiviral Remdesivir telah digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih memantau hasil penggunaan ubat antiviral itu dan masih terlalu awal untuk dikongsikan hasilnya.

“Apa yang pasti ubat itu dan juga ubat-ubat yang lain, kita tidak mempunyai masalah…daripada segi stok pula semua mencukupi untuk merawat pesakit,” katanya ketika sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata ubat seperti Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir digunakan untuk merawat virus pandemik itu. Merujuk kepada kit ujian pantas antigen dari Korea Selatan, Dr Noor Hisham berkata kosnya kurang daripada RM50 tiap satu kit ujian, tapi Kementerian Kesihatan Malaysia masih sedang berbincang untuk mendapatkan harga yang rendah.

Disebabkan jumlah yang banyak diperlukan, katanya beliau menjangka pihak pembekal akan membekalkan kit ujian pada harga yang lebih murah di masa hadapan. – Bernama