Ubat AZ kurangkan 77 peratus risiko COVID-19

LONDON, 20 OGOS – Syarikat pengeluar ubat, AstraZeneca (AZ) mengumumkan hasil positif daripada ujian rawatan untuk gejala COVID-19.

Ubat yang dibuat daripada gabungan dua antibodi itu pada mulanya dibangunkan sebagai rawatan bagi mereka yang sudah terkena penyakit itu.

Ujian baharu membabitkan seramai 5,197 peserta yang belum terdedah virus menunjukkan risiko penurunan 77 peratus untuk mengalami gejala penyakit, tanpa kes yang teruk direkodkan, kata AstraZeneca dalam satu kenyataan.

Ujian sebelum ini untuk ubat AZD7442 yang dilakukan Jun lalu, menunjukkan ia hanya mengurangkan risiko peningkatan gejala sebanyak 33 peratus yang disifatkan tidak signifikan secara statistik.

Penyelidik, Myron Levin berkata data ujian baharu menunjukkan satu dos dapat mencegah gejala COVID-19 dengan cepat dan berkesan.

“Dengan hasil yang menarik ini, AZD7442 dapat menjadi alat penting untuk membantu orang yang mungkin memerlukan lebih daripada vaksin untuk kembali kepada kehidupan normal mereka,” katanya.

Ubat itu diharap dapat digunakan bersama vaksin bagi yang memerlukan lebih banyak perlindungan untuk bertahan sehingga selama 12 bulan.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) membiayai pembangunan AZD7442 dan mempunyai perjanjian untuk menerima 700,000 dos.

Menerusi kajian itu, data sudah dihantar kepada pihak berkuasa kesihatan untuk kemungkinan penggunaan kecemasan atau kelulusan bersyarat. – AFP

Syarikat AstraZeneca telah mengumumkan hasil positif daripada ujian rawatan untuk gejala COVID-19 baru-baru ini.- AFP