Ubati hati jangan biar mati

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Hati itu adalah ibarat raja manakala anggota tubuh badan yang lain pula adalah pengawalnya kerana hati mempunyai peranan yang sangat besar dalam menentukan dan mencorakkan cara kehidupan seseorang.

“Hatilah yang memerintahkan segala tindakan yang dilaksanakan oleh anggota-anggota badan yang lain,” kata khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Qalbun Saleem hari ini.

“Sebagai umat Islam, kita hendakalah berusaha untuk memelihara dan menjaga hati dengan sebaik-baiknya supaya hati sentiasa menempuh jalan kebaikan dan kebajikan sesuatu dengan perintah agama dan suruhan Allah,” jelas khatib lagi.

Ini kerana, jika hati itu rosak, ujarnya, rosaklah seluruh anggota badan dan jika hati itu bersih dan baik, baiklah seluruh anggota badan.

Hati itu dibahagikan kepada tiga, hati yang bersih iaitu hati orang yang beriman manakala kedua, hati yang sakit iaitu hati yang dipenuhi dengan pelbagai penyakit seperti sifat riak, hasad, bangga diri dan sebagainya.

Jika ia tidak dirawati atau diubati, tegas khatib, ia boleh mematikan hati dan yang ketiga pula, hati yang mati ialah hati yang tertutup daripada menerima segala nasihat kerana telah dikawal oleh hawa nafsu dan syaitan hingga berpaling daripada mengingati Allah.

Khatib dalam khutbahnya menjelaskan, memiliki Qalbun Saleem merupakan impian se-tiap orang Islam tapi bagaimana cara untuk memilikinya.

Untuk menggapai atau memiliki Qalbun Saleem itu, tegas khatib, hendaklah sentiasa menjaga dan memelihara dua perkara iaitu, Hablum Minallah iaitu hubungan di antara makhluk dengan khalid iaitu penciptaNya manakala kedua pula, Hablum Minanas iaitu hubungan sesama manusia.

Perlu diketahui, maksud menjaga hubungan antara manusia dengan Allah itu ialah hendaklah sentiasa mengikuti segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya dan sentiasa mendekatkan diri kepadaNya dengan melakukan amal soleh dan amal kebajikan.

Khatib seterusnya menambah, selain menjaga hubungan dengan Allah, hendaklah juga menjaga hubungan silaturahim antara sesama manusia seperti berbuat baik kepada kaum keluarga, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan sekerja dan seumpamanya.

Selain itu, hendaklah jua saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan berkebajikan, membantu orang yang susah dan yang memerlukan bantuan, bersopan santun dan berbudi bahasa dalam tingkah laku dan tutur bicara, sentiasa bermanis muka apabila bersua dan bertegur sapa dan sebagainya.

Kesempurnaan dan kemantapan iman seseorang itu, tekan khatib, ia bukanlah hanya setakat beriman dengan Rukun Iman yang enam malah meng-hubungkan silaturahim juga adalah antara cabang iman.

Agama Islam juga menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga dan memelihara hubungan silaturahim di mana Rasulullah SAW juga ada mengajarkan doa supaya dikurniakan Qalbun Saleem iaitu hati yang bersih.

Sebagai umat Islam, marilah sentiasa berusaha menjauhi perkara yang boleh melalaikan dan mematikan hati seperti mengumpat, mencaci, mengadu domba, memfitnah dan sebagainya.

“Mudah-mudahan dengan menjauhi segala sifat yang tidak baik ini, kita akan tergolong dalam golongan orang-orang yang mempunyai Qablum Saleem yang sentiasa mengingati dan mencintai Allah dan RasulNya,” tambahnya.