Oleh Nurdiyanah R.
Syukur Alhamdulillah dengan izin Allah SWT dan limpah rahmatNya juga, kita berpeluang menjalankan ibadah di bulan suci Ramadan sehingga ke saat ini.
Dalam beberapa hari lagi, umat Islam akan meraikan hari kemenangan di bulan Syawal. Sudah tentu pada ketika ini sebahagian besar di antara kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri.
Pastinya, ramai yang tidak sabar untuk pulang berhari raya di kampung halaman bagi yang tinggal di daerah-daerah yang jauh atau pedalaman dan mungkin juga ke luar negara bagi meraikan Syawal bersama keluarga.
Begitu juga persiapan menyediakan keperluan seperti pakaian baharu, menghias rumah, menyediakan kuih-muih dan sebagainya. Semua ini adalah semata-mata untuk meraikan hari Lebaran agar disambut dalam suasana gembira lebih-lebih lagi ketika tanah air sudah mencapai Fasa Awal Endemik.
Didik diri penuh kesederhanaan
Hakikatnya, dalam keseronokan kita menyambut tibanya Syawal, satu perkara yang tidak kurang pentingnya untuk dihayati malah mungkin suatu hal yang sering terlepas pandang oleh kebanyakan masyarakat adalah menyambutnya dengan cara mendidik diri bersederhana terutamanya dalam berbelanja.
Persoalannya adakah kita sudah kenal pasti perkara-perkara yang menjadi keperluan untuk Hari Raya nanti? Walaupun kita disunatkan berhias dan bergembira pada hari raya tetapi bukanlah bermakna kita boleh berlebih-lebihan dan melampaui batasan kemampuan diri, sebaliknya kita perlu bersederhana dan berbelanja mengikut kadar kemampuan masing-masing, berjimat cermat dan tidak boros.
Begitu juga, janganlah kita terlalu mengikut kata hati atau kehendak hawa nafsu dengan sikap ingin menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah, berbelanja melebihi keperluan sehingga kita sanggup berhutang.
Akhirnya kita dibebani hutang dan tidak mampu untuk membayarnya. Oleh itu, persiapan untuk menyambut hari mulia ini perlu dilakukan dengan perancangan yang betul agar kita tidak menanggung beban hutang yang banyak selepas berakhirnya musim perayaan nanti.
Mungkin sesetengah orang ada yang sanggup berhutang untuk menyambut Syawal dengan alasan didorong oleh keseronokan menyambut Aidilfitri setahun sekali dan ada juga yang sanggup berhabis-habisan demi perasaan tidak mahu kalah dengan jiran atau sudara tanpa memikirkan kesan kepada aspek kewangan kelak.
Jauhi riak, elak pembaziran
Sebagai umat Islam, tidak perlulah kita berlebih-lebihan atau bermegah-megah berbelanja sehingga membawa kepada sifat riak lebih-lebih lagi pembaziran. Allah SWT mengingatkan bahawa orang-orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Israa’ ayat 26 hingga 27 yang tafsirnya:
“Dan berikanlah kepada kerabat-kerabatmu dan orang-orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya.”
Alangkah indahnya hari kemenangan nanti kita bersama ahli keluarga mampu menyemai amalan bersederhana, namun terus mempertingkatkan ketaatan kepada Allah SWT dengan apa sahaja amalan-amalan yang diajarkan oleh agama Islam demi menggapai keberkatan dan keampunan serta memohon dipanjangkan usia bertemu dengan Ramadan akan datang dan segala amalan kita diterima olehNya.