BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Sebagai pendedahan kepada Tahun Penemuan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik, Pejabat Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) menganjurkan Pameran Tahun Penemuan 2018 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Inspirasi, Pusat Pelajar UBD.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, acara berkenaan bertujuan untuk memberi peluang kepada para mahasiswa dan mahasiswi serta ibu bapa mengetahui dan memahami tentang Program Tahun Penemuan melalui pameran dan interaksi langsung bersama para mahasiswa dan mahasiswi yang telah mengikuti program berkenaan sama ada dalam dan luar negara.
Tahun Penemuan merangkumi empat aktiviti iaitu Inkubasi, Program Jangkauan Komuniti (COP), Program Pengajian Luar Negara Pelajar (SAP) dan Penempatan. Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk berinteraksi bersama pihak-pihak berkepentingan dan rakan kerjasama UBD di dalam dan luar negara.
Acara tahunan yang diadakan kali kedua ini turut menyaksikan penyertaan beberapa bahagian di UBD yang bertanggungjawab mengendalikan Program Tahun Penemuan.