Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Sebagai usaha untuk menambah tabung darah bagi membantu mereka yang memerlukan di negara ini, kempen-kempen menderma darah terus dilaksanakan oleh pelbagai pihak.
Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) turut mengadakan kempen seumpamanya sempena Pesta Buku Perpustakaan UBD yang berlangsung di ruang lobi Perpustakaan UBD, hari ini.
Kempen yang bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang itu antara lain bertujuan untuk memberi sokongan dan keprihatinan kepada masyarakat dalam menyumbang dan menambah stok darah di hospital berkenaan.
Di samping itu, ia juga sebagai amalan berkebajikan dan menanamkan sifat beramal jariah dengan menderma darah yang dapat menyelamatkan nyawa.
Sebelum menderma darah, para penderma darah menjalankan pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan oleh pegawai perubatan JPMC untuk memastikan mereka boleh membuat pendermaan darah.
Salah seorang penderma yang sempat ditemui, Dayang Siti Ra’imah binti Haji Awang yang merupakan seorang penderma darah aktif, memberitahu bahawa beliau kali pertama menderma darah pada usia 18 tahun iaitu pada 2016.
“Ini adalah kali ke enam membuat derma darah dan merasa bersyukur dapat membantu orang-orang yang memerlukan darah sekali gus dapat menambah jumlah tabung darah bagi pusat berkenaan,” ujarnya.
Dengan adanya kempen berkenaan, tambah beliau, ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai akan pentingnya menderma darah sekali gus menggalakkan orang ramai untuk menderma darah.





























