UBD catat peningkatan dalam ranking dunia THE

Gambar serahan UBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Buat tahun kedua berturut-turut, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memasuki Ranking Universiti Dunia Times Higher Education (THE) di mana, THE baru-baru ini, telah mengumumkan bahawa UBD mencatat peningkatan ke kumpulan 351-400 daripada kumpulan 401-500 tahun lalu.

Ini mengekalkan kedudukan UBD sebagai universiti ke-4 teratas di ASEAN dengan hanya lima universiti di ASEAN yang memasuki 500 teratas dan 19 universiti dalam 1,000 teratas dalam Ranking Universiti Dunia THE tahun ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, hari ini.

Kenyataan menjelaskan, Ranking Universiti Dunia THE adalah salah satu ranking universiti paling berpengaruh di dunia dan secara meluas digunakan oleh kebanyakannya universiti teratas, industri dan agensi kerajaan dunia serta prospektif kakitangan dan pelajar.

Ia dianggap sebagai sistem yang objektif, kukuh dan telus yang menggunakan jadual prestasi global yang menilai universiti-universiti intensif penyelidikan di seluruh misi utamanya termasuk pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan pendapatan industri serta pandangan antarabangsa.

Menurut kenyataan, pada masa ini, UBD adalah satu-satunya universiti di Brunei Darussalam yang memasuki Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) dan THE, pencapaian penting bagi universiti berusia 35 tahun itu. Dalam Ranking Universiti Dunia THE yang diumumkan baru-baru ini, UBD merekodkan prestasi baik bagi panda-ngan global dan impak penyelidikan.

UBD satu-satunya universiti di Brunei Darussalam memasuki Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) dan THE, pencapaian penting bagi universiti yang berusia 35 tahun itu.

Berada di kedudukan ke-123 di dunia, pandangan antarabangsa melihat kepada peratus kakitangan antarabangsa, pelajar antarabangsa dan penyelidikan kolaborasi antarabangsa.

Ini menunjukkan bahawa UBD mempunyai rangkaian dan rakan-rakan yang kukuh di seluruh dunia untuk memastikan pengajaran dan penyelidikan yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai. Dalam impak penyelidikan, UBD berada dalam 80 persentil teratas, menyertai universiti-universiti 20 peratus teratas dari segi penerbitan dan pemetikan penyelidikan.

Ini, tambah kenyataan, selaras dengan Field-Weighted Citation Index UBD, satu langkah impak penyelidikan oleh Scopus SciVal.

Skor UBD pada tahun ini adalah 1.86, bermakna impak penyelidikan UBD adalah 86 peratus lebih tinggi daripada purata global, peningkatan daripada skor tahun lalu pada 1.36.

Satu lagi penunjuk utama yang dinilai oleh THE adalah kualiti pengajaran di sesebuah universiti di mana UBD telah memperbaiki skor dan kedudukannya berbanding tahun lalu.