Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    UBD catat peningkatan ranking QS, THE

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) terus bergerak ke arah menjadi universiti bertaraf dunia seperti yang terbukti dalam pengumuman terbaharu Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) dan Ranking Universiti Asia Times Higher Education (THE) yang dikeluarkan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, hari ini, universiti berkenaan telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam impak dan kualiti research citations sehingga beralih daripada kedudukan dunia ke-311 untuk penyelidikan semasa mula-mula menembusi Ranking Universiti Dunia dua tahun lepas kepada kedudukan ke-268 pada 2021 dan mencapai kedudukan tertinggi 233 pada tahun ini.

    Kemajuan juga dilihat dalam bilangan penerbitan setiap kakitangan, penganugerahan ijazah kedoktoran dan pendapatan industri. Di rantau ini, UBD menduduki tempat ke-38 daripada universiti di Asia dan ke-5 di ASEAN untuk research citations.

    Menurut pengumuman terbaharu daripada THE, International Outlook ialah penunjuk yang paling kukuh bagi UBD kerana ia berada di kedudukan ke-18 dalam kategori berkenaan.

    Sehingga kini, UBD adalah satu-satunya universiti di Brunei Darussalam yang termasuk dalam kedua-dua ranking THE dan QS di mana ia kini berada dalam kumpulan 341-400 untuk Ranking Universiti Dunia, kedudukan 62 untuk Ranking Universiti Asia, dan bagi Universiti Dunia QS pula pada kedudukan ke-256.

    Sejak UBD mula memasuki Ranking Universiti Dunia QS pada 2018 di tempat ke-349, ia telah meningkat sebanyak 93 tempat setelah berprestasi dalam 35.6 persentil universiti teratas dan pencapaian terus meningkat sehingga 19.2 persentil pada 2021.

    Pada tahun ini, UBD terus melakar peningkatan kepada 18 persentil universiti teratas di seluruh dunia.

    Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam kedudukan keseluruhan, pencapaian itu kekal sebagai pencapaian yang membanggakan bagi universiti muda terutamanya apabila terdapat peningkatan 9 peratus dalam bilangan universiti baharu yang mengambil bahagian dalam kedudukan latihan.

    Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dipetik berkata, UBD komited untuk menyelaraskan usaha dengan matlamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...