UBD, CUHK meterai MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Bagi memperbaharui perkongsian lima tahun dengan memberi tumpuan kepada pergerakan pelajar dengan penekanan dalam latihan keusahawanan, pemikiran dan kemahiran global, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini telah memeterai dua Perjanjian Persefahaman (MoU) Pertukaran Pelajar (SEA) dengan Chinese University of Hong Kong (CUHK).

Majlis yang berlangsung di CUHK itu menyaksikan Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dan Naib Canselor CUHK,

Profesor Rocky S Tuan menandatangani MoU bagi merangka kerjasama berterusan selain meneruskan pertukaran pelajar antara kedua-dua universiti yang telah dimulakan sejak tahun 2015.

UBD berkata, SEA akan membolehkan pelajar UBD menjalankan program pengajian luar negara di CUHK semasa Program Discovery Year tahun ketiga mereka dan pelajar CUHK juga boleh menyertai Program Inbound Mobility UBD dan Global Discovery Programme.

CUHK dengan kekuatannya dalam bidang perubatan merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi yang komited memainkan peranan utama dalam pendidikan tinggi di Hong Kong.

Fakulti Perubatan di CUHK merupakan salah sebuah sekolah rakan kongsi perubatan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSBIHS) UBD sejak 2017.

Kedua-dua fakulti berkenaan bekerjasama dalam program sarjana muda perubatan.

Pada masa ini, PAPRSBIHS mempunyai 10 sekolah rakan kongsi perubatan dari UK, Ireland, Australia dan Hong Kong.

UBD menduduki ranking teratas satu peratus dalam kalangan 26,000 universiti di dunia dalam World University Ranking Quacquarelli Symonds (QS) terkini, yang menempatkannya sebagai universiti penyelidikan paling itensif.

Selain CUHK, UBD juga bekerjasama dengan bebereapa universiti Hong Kong yang lain seperti University of Hong Kong, Hong Kong University of Science and Technology, City University of Hong Kong and Hong Kong Polytechnic University.