UBD kini di tangga ke-86

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Universiti Brunei Darussalam kini berada di tangga ke-86 dalam Ranking Universiti-universiti Asia Quacquarelli Symonds (QS), peningkatan berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan, daripada tangga 105 pada 2017 dan 100 pada 2018.

Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dalam kenyataan yang dikeluarkan UBD, hari ini, melahirkan rasa gembira dengan peningkatan berterusan UBD dalam Ranking Asia QS.

Beliau menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas sokongan tetap dan wawasan Baginda.

Beliau juga memberikan penghargaan kepada semua kakitangan, pelajar, rakan-rakan dan pihak berkepentingan UBD yang telah menyumbang kepada peningkatan berterusan mereka.

UBD dalam kenyataannya menyatakan bahawa misi mereka masih sama iaitu untuk melahirkan graduan yang berpendidikan tinggi dan terlatih dengan kemahiran-kemahiran perlu untuk sedia industri dan diambil bekerja, mampu berdepan cabaran-cabaran dalam pasaran kerja yang terus berubah.

Menerusi program GenNEXT yang dimudahkan oleh ahli-ahli fakulti berkualiti tinggi dan nisbah fakulti-pelajar yang baik, UBD menyediakan persekitaran kondusif dan pendekatan berbilang disiplin untuk mengajar dan belajar di seluruh fakultinya bagi pembangunan holistik para graduannya.

Di samping memaksimumkan pengalaman di kampus dalam negara, UBD juga telah memulakan program ijazah berkembar bersama Korea University dalam Pengajian Biodiversiti serta program Sarjana dan PhD dalam Kejuruteraan bersama Sungkyunkwan University dalam bidang Teknologi-teknologi Pengeluaran pintar dan Kilang-kilang Pintar.

Program-program baharu berkenaan adalah tambahan kepada perkongsian-perkongsian sedia ada, bermakna lebih ramai pelajar UBD kini boleh meluangkan sebahagian pengajian mereka di universiti-universiti teratas, mendapatkan akses kepada rangkaian kepakaran lebih meluas, pendedahan antarabangsa dan pengalaman pembelajaran yang berharga.