Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD menang Anugerah Inovasi AI Coursera

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mencapai satu lagi pengiktirafan antarabangsa apabila Sekolah Sains Digital (SDS) menerima Anugerah Inovasi AI Coursera 2024 yang berprestij bagi Rantau Asia-Pasifik.

    Anugerah ini mengiktiraf program Kecerdasan Buatan Terapan (AAI) UBD sebagai peneraju dalam pendidikan dan inovasi yang dipacu oleh AI, sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk membentuk masa depan transformasi digital.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan UBD hari ini, program AAI yang ditawarkan melalui SDS, telah menjadi pemain utama dalam membangunkan profesional AI yang amat berdaya saing.

    Ianya dilengkapi dengan kemahiran bukan sahaja untuk memanfaatkan teknologi AI tetapi juga memacu inovasi teknologi di seluruh industri.

    Dilancarkan dengan kerjasama Coursera, pemimpin global dalam pembelajaran dalam talian, program AAI turut memastikan pelajar menerima pendidikan bertaraf dunia dalam bidang AI, sekali gus menjadikan mereka graduan yang tersedia dalam industri selaras dengan Wawasan 2035 Brunei.

    Gambar Freepik

    Selain AAI, SDS juga menawarkan pengkhususan terkini seperti Kecerdasan Buatan & Robotik, Keselamatan Siber, Sains Data dan Sains Komputer, bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat inovasi digital dan pendidikan masa depan.

    Program AAI memberi tumpuan kepada aplikasi dunia nyata AI melalui kursus daripada pemimpin industri seperti IBM dan Google dengan pensijilan.

    Pengiktirafan ini telah meletakkan UBD di antara universiti teratas di seluruh dunia atas pendekatan inovatifnya dalam pendidikan AI selaras dengan keperluan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

    Tanpa menjejaskan kualiti, UBD berjaya memendekkan tempoh ijazah Sarjana Muda Sains Digital (BDSc) dari empat tahun kepada tiga tahun untuk program AAI, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pakar sains digital.

    Perubahan yang pesat ini disokong oleh pilihan modul AI dari Coursera, yang mana telah diintegrasikan dengan lancar ke dalam program AAI yang baharu.

    Melalui program ini, SDS berperanan dalam membina kapasiti dan memenuhi keperluan tenaga kerja bagi merealisasikan visi negara pintar selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei 2025.

    Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle, memuji pencapaian ini dan menyatakan, “Anugerah ini menekankan komitmen UBD terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan misinya untuk melahirkan graduan yang bersedia untuk masa depan.

    “Program AAI telah terbukti menjadi pemacu inovasi yang penting di rantau ini, membantu Brunei mengambil langkah besar menjadi pe-neraju dalam ekonomi digital global,” jelasnya.

    Dengan Anugerah Inovasi AI ini, SDS UBD berdiri sebagai kecemerlangan pendidikan AI di rantau ini.

    Anugerah ini menonjolkan reputasi UBD yang semakin meningkat sebagai pemimpin dalam pendidikan AI di rantau ini, menawarkan pelajar pengalaman pembelajaran yang dinamik dan menyeluruh yang melengkapi mereka untuk menerajui inovasi AI.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda