Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dinobatkan sebagai juara Piala Canselor 2022 dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah telah diadakan di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Sementara itu, tempat kedua telah dimenangi oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kiflie; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh dan Awang Adi Rani Sofian bin Abdul Rahman, mewakili Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi Piala Canselor 2022 merangkap Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTB (MPPUTB) 2022/2023, Dayang Ummi Salamah binti Haji Mohamad Firdaus.
Ia diikuti dengan persembahan multimedia dan persembahan Piala Canselor 2022 oleh institusi yang mengambil bahagian yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu persembahan keagamaan, sukan dan kebudayaan.
Dalam segmen agama, KUPUSB menyampaikan tausyeh manakala UNISSA mempersembahkan persembahan hadrah. Persembahan sukan pula menampilkan persembahan daripada UTB iaitu tarik kalat dan badminton.
Manakala KUPU SB turut mempersembahkan gulintangan dan pidato bagi persembahan kebudayaan.
Piala Canselor diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD, UNISSA, UTB, dan KUPU SB, pada 5 Ogos 2021.
Acara diakhiri dengan pengumuman tuan rumah seterusnya bagi Piala Canselor 2024, diikuti dengan penyerahan bendera Piala Canselor oleh naib canselor UTB kepada naib canselor UBD.
