UBD Spectrum 2021: Anew buka tirai

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dengan matlamat untuk mengetengahkan kemahiran seni lukisan dengan gabungan pelbagai bidang yang dihasilkan oleh bakal graduan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengadakan Pameran UBD Spectrum 2021: Anew yang dilancarkan hari ini di Dewan Canselor, UBD.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan pameran yang akan berlangsung selama sebulan itu ialah Penolong Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Akademik) UBD, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

Pameran berkenaan melibatkan seramai 28 orang bakal graduan Program Design & Creative Industries (DCI), UBD.

Pengiran Dr Mohammad Iskandar dalam ucapannya menyatakan bahawa pameran berkenaan merupakan salah satu platform bagi para mahasiswa dan mahasiswi untuk menimba pengetahuan dan memanfaatkan pengalaman dan potensi mereka sepenuhnya dalam bidang seni kreatif dengan pendekatan keusahawanan.

Menurut kenyataan yang diberikan, terdapat enam bahagian yang diketengahkan pada pameran berkenaan mengikut pemilihan konsep tersendiri para pelajar meliputi seni visual, penulisan kreatif dan percetakan, hiburan, filem dan animasi, rekaan dalaman dan perabot serta fesyen.

Pameran yang merupakan penerus legasi kepada program Sarjana Muda Art & Creative Technology (ACT) itu memiliki keistimewaan yang tersendiri di mana ia memfokuskan kepada lukisan dengan gabungan pelbagai bidang, antaranya kombinasi antara rekaan dan media, inovasi dan teknologi, dan perniagaan serta pengurusan yang ditawarkan di bawah program DCI.

Sesi perbincangan mengenai kesenian juga akan berlangsung sepanjang pameran berkenaan pada setiap Isnin dan Sabtu di mana pelbagai topik akan dibincangkan yang menyentuh mengenai idea dan perkembangan di sebalik konsep produk yang akan dipamerkan pada pameran tersebut.

Tetamu kehormat menyaksikan Pameran UBD Spectrum 2021: Anew yang diketengahkan oleh 28 orang bakal graduan program DCI, di Dewan Canselor, kelmarin.