UBD terima ranking kecemerlangan kejuruteraan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) mencapai satu lagi mercu tanda utama apabila menjadi universiti pertama di Brunei yang diberikan ranking bagi kecemerlangan kejuruteraannya oleh Times Higher Education (THE) World Ranking, dalam jalur 201-205.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, hari ini, UBD berada pada ranking 4 bagi sekolah kejuruteraan di ASEAN bersama-sama dengan National University of Singapore, Nanyang Technological University di Singapura serta Universiti Malaya di Malaysia.

THE World University Ranking merupakan salah satu ranking universiti paling berpengaruh di dunia dan digunakan secara meluas oleh kebanyakan universiti sebaya terbaik di dunia, industri dan agensi-agensi kerajaan serta juga bakal-bakal kakitangan dan pelajar-pelajar.

Di samping ranking universiti keseluruhan, THE juga memberikan ranking kepada universiti-universiti dari segi mata pelajaran dengan memberikan tumpuan kepada kecemerlangan dalam kualiti pembelajaran dan impak penyelidikan.

Ini merupakan ranking mata pelajaran kedua bagi UBD di mana Sains Fizikal telah memasuki ranking buat kali pertama pada 2020.

Pelajar Kejuruteraan Kimia dan Proses sedang menjalani penempatan latihan di Hengyi Industries Sdn Bhd, Pulau Muara Besar selepas menamatkan pembelajaran mereka. – Gambar serahan UBD

Kejayaan program Kejuruteraan UBD antara lain disebabkan penekanan kepada pendidikan kejuruteraan yang luas dan berasaskan rekaan berkualiti tinggi dengan sebuah kurikulum yang inovatif.

Kurikulum Kejuruteraan GenNext telah dibangunkan melalui kerja kolaboratif dengan universiti-universiti teknologi terkemuka di dunia termasuk Stevens Institute of Technology, USA dan Zhejiang University, China.

Program Sarjana Muda Kejuruteraan merangkumi pelbagai bidang yang meluas yang meliputi bidang-bidang yang dikenal pasti dalam pelan Wawasan Brunei 2035, menumpukan kepada penghasilan graduan berkualiti tinggi dengan pengalaman industri dan dalam bidang-bidang penting ekonomi bagi negara.

Mengulas mengenai pencapaian berkenaan, Dekan Fakulti Teknologi Berintegrasi (FIT), Dr Juliana Haji Zaini mengambil maklum bahawa kakitangan dan pelajar FIT adalah bersemangat dan komited mengenai kecemerlangan dalam pengajaran serta penyelidikan berimpak tinggi.

Diberikan ranking antara sekolah-sekolah kejuruteraan yang terbaik di rantau ini, tambahnya, merupakan hasil daripada kerja keras dan profesionalisme kakitangan dan pelajar FIT.

Dr Juliana menambah bahawa ia memupuk keyakinan yang tinggi dalam pelajar mereka sekarang dan akan datang mengenai kualiti serta kredibiliti program kejuruteraan yang ditawarkan oleh FIT.

“Saya berharap ini akan terus memberikan inspirasi dan menggalakkan warga Brunei untuk melanjutkan pendidikan dan kerjaya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” ujarnya.