UBD terima sumbangan buku dari Iran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Kedutaan Republik Islam Iran telah menyumbangkan buku-buku yang meliputi 28 tajuk ke Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.

Menurut kenyataan UBD, buku-buku yang disumbangkan ke Perpustakaan UBD akan memberikan akses kepada para pelajar dan pengguna kepada pilihan pelbagai buku Iran yang merangkumi sejarah, sastera, geografi dan pelancongan.

Sumbangan buku berkenaan diserahkan oleh Duta Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki kepada Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz pada majlis yang berlangsung di Perpustakaan UBD.

PYT Homeira Rigi Zirouki dalam ucapannya dipetik berkata bahawa UBD berada di ranking 69 dalam Asia oleh 2022 QS Asia University Rankings dan 250 di dunia oleh 2022 QS World University Rankings.

Beliau juga bangga untuk mengumumkan bahawa ramai graduan dari universiti-universiti terunggul Iran merupakan di antara elit saintifik dunia.

Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa sumbangan buku berkenaan adalah bertepatan dengan minggu buku di Republik Islam Iran di mana pesta buku dan ceramah mengenai penerbitan buku diadakan di sekolah-sekolah, masjid, universiti di kesemua wilayah di negara berkenaan serta buku-buku pilihan tahunan dan penerbitan juga turut diperkenalkan.

Sumbangan buku itu juga merupakan langkah ke arah mempromosikan kerjasama akademik dan saintifik antara kedua-dua buah negara.

Puan Yang Terutama juga mengetengahkan bahawa kerjasama akademik mampu membantu kepada pembangunan saintifik kedua-dua buah negara dan bangga untuk mengumumkan bahawa inisiatif-inisiatif berharga telah diambil yang akan mencapai dapatan baik dengan usaha pegawai-pegawai dari kedua-dua buah negara.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa pada masa ini, seorang pelajar dari Iran sedang mengikuti pengajian PhD dalam Sains Komputer di UBD dan terdapat tiga orang pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka dengan ijazah sarjana muda dari UBD pada 2015, masing-masing dalam bidang sains dan seni dan sains sosial.

PYT Homeira Rigi Zirouki menyampaikan sumbangan buku kepada Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina di Perpustakaan UBD. – Gambar serahan UBD