UBD terus menyerlah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Universiti Brunei Darussalam (UBD) terus melakar mercu tanda dalam usahanya untuk dikenali sebagai salah sebuah universiti terbaik di dunia apabila meningkat tiga anak tangga kepada ranking ke34 dalam QS Top 50 Under 50 World Rankings yang diumumkan pada 22 Jun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, hari ini, ranking universiti sering kali memberikan kelebihan kepada institusi yang lebih besar dan tua di mana menjadikan pencapaian UBD lebih bermakna.

Sejak penerbitannya pada 2012, QS Top 50 Under 50 mengetengahkan universiti-universiti muda dunia yang pesat meningkat dan bagi universiti muda, UBD kini berada di ranking ke-16 di Asia dan ranking ke-6 dalam ASEAN.

Kenyataan menyatakan lagi, dalam kalangan universiti-universiti kecil berdasarkan kepada QS World University Ranking, UBD kini berada di ranking ke-16 di dunia, ke-5 di Asia dan pertama di ASEAN.

Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zharina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dipetik menyatakan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas sokongan berterusan yang mana dengan sokongan padu itu, UBD sekali lagi mencatatkan satu lagi mercu tanda penting dengan peningkatannya dalam ranking QS Top 50 Under 50.

Gambar serahan UBD menunjukkan prototaip UBD Flyer 2000 yang membekalkan tenaga ke Simpur Cafe UBD. UBD terus melakar mercu tanda sebagai salah sebuah universiti terbaik di dunia apabila menduduki tangga ke-34 dalam QS Top 50 Under 50 World Rankings yang diumumkan pada 22 Jun lalu.

Beliau juga berkata bahawa walaupun UBD terus meneroka penyelidikan komersial, ranking universiti itu menunjukkan bahawa ia merupakan sebuah universiti bertaraf dunia yang mampu menyediakan pendidikan dan latihan yang terbaik bagi pelajar mereka bagi mempersiapkan mereka untuk menjadi pemimpin yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan mampan jangka panjang Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa UBD yang berusia 33 tahun terus meningkatkan keupayaannya dengan mempunyai visi yang jelas untuk memperkasakan pemimpin masa hadapan yang bersedia menerusi pendidikan inovatif dan penyelidikan berkeusahawanan yang berpandu kepada aspirasi negara serta dibimbing oleh nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

Sebagai sebuah universiti kebangsaan, UBD terus menekankan matlamat ke arah menyumbang kepada pembangunan dan kepelbagaian ekonomi negara di mana dalam ekonomi yang berasaskan ilmu pengetahuan, mereka yang mampu untuk berinovasi adalah mereka yang mampu meraih kejayaan.

Dalam hubungan itu, UBD akan terus berusaha bagi melahirkan graduan yang akan memainkan peranan dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara, jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, salah satu sebab utama peningkatan ranking UBD dalam QS Top 50 Under 50 adalah peningkatan yang signifikan dalam penyelidikan dan inovasi di mana UBD telah bergerak maju daripada sebuah universiti pengajaran menjadi sebuah universiti pengajaran kecemerlangan dan penyelidikan.

QS juga telah mengiktiraf dan meletakkan UBD sebagai sebuah universiti penyelidikan tinggi intensif.

Penyelidikan di UBD meliputi pelbagai bidang yang relevan pada Brunei Darussalam di mana ia melaksanakan penyelidikan yang boleh digunakan yang bukan sahaja mempunyai nilai akademik yang tinggi tetapi juga mempunyai impak sosial dan ekonomi yang tinggi termasuk kajian dalam bidang tenaga hijau, tumbuhan herba dan ubat serta farmakologi.

Kenyataan juga menyatakan bahawa UBD terus melangkah ke hadapan dalam kajian kebolehlaksanaan tenaga hijau di Brunei Darussalam di mana salah satu kajian berhubung tenaga yang boleh diperbaharui ialah turbin angin yang baru sahaja dipatenkan.

Ia boleh menghasilkan tenaga di lokasi-lokasi yang mempunyai profil angin yang rendah atau sederhana, jelas kenyataan itu.

Pada masa yang sama, penyelidikan tenaga suria dan kinetik juga telah menghasilkan prototaip seperti UBD Flyer 2000. Ia menyumbang kepada bekalan tenaga kepada Simpur Cafe, sebuah kafe kepunyaan UBD yang beroperasi di premis kampus.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa pelbagai industri telah menunjukkan minat terhadap teknologi berkenaan dan UBD dapat melihat ia dikomersialkan dalam masa yang terdekat.

Manakala Pusat Penyelidikan Botani yang dirasmikan baru-baru ini, potensi perubatan bagi pelbagai herba dan tumbuhan sedang dikaji dengan para penyelidik menggunakan panduan daripada amalan tradisi dan cerita lama untuk memahami dengan lebih baik mengenai tumbuhan yang telah digunakan untuk merawat pelbagai penyakit biasa seperti pucuk Pawas, Sambah Bagangan dan Simpor Bini dan Laki.

Satu bidang yang amat mendapat perhatian bagi pusat berkenaan ialah pelbagai manfaat yang dapat diperoleh daripada Madu Kelulut yang mempunyai potensi besar bagi produk makanan dan suplemen tempatan untuk dikomersialkan.

Kecemerlangan penyelidikan memerlukan kumpulan graduan yang berbakat serta staf akademik berkualiti tinggi yang mana daripada hanya 2 peratus graduan, UBD telah meningkatkan jumlah pelajar graduannya kepada lebih 30 peratus pada 2017, jelas kenyataan itu.

Kenyataan menyatakan bahawa dalam usaha untuk mengejar kecemerlangan penyelidikan, UBD terus mengadakan dialog dengan pihak industri dan memeterai kerjasama swasta-awam supaya dapat membolehkan para penyelidik untuk menterjemahkan secara efektif ilmu pengetahuan serta penyelidikan mereka ke arah inovasi, keusahawanan dan komersial.

Kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) juga menghasilkan peluang pekerjaan inovatif bagi para graduan UBD.

Salah satu hala tuju strategik universiti berkenaan ialah untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat di sektor swasta untuk melaksanakan projek pembangunan dan penyelidikan. Ke arah itu, jelas kenyataan berkenaan, Pejabat Hubungan Industri universiti itu, secara aktif mendekati pihak industri untuk membangunkan pembangunan dan penyelidikan bersama.