Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    UBD tingkatkan pendidikan keusahawanan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini, telah diterima menjadi ahli Babson Collaborative Entrepreneurship Education di bawah Babson College.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, hari ini, Babson College merupakan peneraju pendidikan keusahawanan global, yang disenaraikan sebagai pendidikan sarjana muda dan Master of Business Administration (MBA) yang terunggul dalam keusahawanan buat kali ke-26 dan ke-29 berturut-turut di mana Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBDSBE) akan menjadi fakulti pengendali dalam mengungkayahkan jalinan keahlian tersebut.

    Dalam pada itu, sebagai ahli, UBD akan dibekalkan dengan peralatan dan sumber pendidikan keusahawanan terkemuka untuk membantu memajukan kaedah pengajaran, penyelidikan dan keupayaan perundingan.

    Selain itu, ia juga akan mewujudkan kekayaan ekosistem keusahawanan, keahlian yang mampu menghubungkan fakulti dengan institusi pengajian tinggi lain, di samping sekolah perniagaan dan kejuruteraan, sekolah seni dan kolej komuniti daripada seluruh dunia.

    Sehingga kini, Babson Collaborative berkenaan mempunyai 35 ahli dari 22 buah negara.

    Sehubungan itu, para ahli diberi akses kepada platform dalam talian bagi penglibatan ahli; perpustakaan kandungan akademik, webinar, direktori ahli, surat berita; dan platform untuk berkongsi hasil penyelidikan, mengakses sumber dan mencadangkan projek penyelidikan bersama.

    Manakala kumpulan penyelidikan kolaboratif turut memajukan penyelidikan topik utama kepada ahli-ahli, termasuk ekosistem keusahawanan, inovasi terbuka dan keusahawanan sosial. Usaha ini selaras dengan agenda negara dalam pendidikan di mana keusahawanan dan inovasi merupakan salah satu tunjang penting ke arah pertumbuhan mahasiswa dan mahasiswi.

    Adapun faedah lain termasuk penyertaan dalam The Babson Collaborative Annual Global Summit yang menghimpunkan golongan pendidik keusahawanan dari seluruh dunia untuk berkongsi amalan terbaik dalam pedagogi dan pemikiran maju kepimpinan. Dalam Global Student Challenge tahunan, para pelajar dari institusi ahli bersaing dalam analisis kebolehlaksanaan konsep perniagaan baharu yang menangani salah satu teras Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui Pendidikan Berkualiti (SDG 4).

    Oleh yang demikian, UBD telah memberi penekanan kepada perjalanan keusahawanan sejak penubuhan Entrepreneurship Village (EV) pada tahun 2013, di mana platform yang menerajui inisiatif pendidikan keusahawanan Kementerian Pendidikan melalui National Entrepreneurship Agenda (NEA). UBD telah memerhati ekosistem Babson melalui lensa Symposium for Entrepreneurship Educators (SEE) pada Jun 2013 dan sejak itu mula mencuba dan merintis metodologi dan pedagogi sambil menghasilkan kesan dan kisah kejayaan yang disahkan melalui inisiatif Pay-It-Forward.

    Babson Collaborative merupakan organisasi keahlian pendidikan keusahawanan global yang menghubungkan universiti di seluruh dunia, membina dan mengembangkan ekosistem keusahawanan mereka. Ia telah menduduki tempat pertama dalam pendidikan keusahawanan selama lebih 25 tahun berturut-turut dalam memajukan pendidikan keusahawanan, dan pemikiran dan tindakan keusahawanan di seluruh dunia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...